Paramount, Mitsui Fudosan bangunkan projek The Ashbourne GDV RM1.34 bilion - Utusan Malaysia

Paramount, Mitsui Fudosan bangunkan projek The Ashbourne GDV RM1.34 bilion

UUSAHA sama Paramount dan Mitsui Fudosan bagi pembangunan kediaman bernilai RM1.3 bilion di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Paramount Corporation Bhd. (Paramount) menjalinkan usaha sama dengan Mitsui Fudosan (Asia) Malaysia Sdn. Bhd. (MFAM) bagi membangunkan projek pangsapuri servis The Ashbourne di Jalan Ampang, Kuala Lumpur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.34 bilion.

Menerusi kerjasama itu, Paramount akan menjual 49 peratus pegangan ekuiti dalam anak syarikat milik penuhnya, Meridian Kuasa Sdn. Bhd. (MKSB) kepada MFAM pada harga RM23.06 juta secara tunai.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Paramount berkata, selepas urus niaga itu selesai, syarikat akan mengekalkan pegangan sebanyak 51 peratus dalam MKSB, manakala baki 49 peratus dimiliki MFAM.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, projek The Ashbourne akan dibangunkan di atas tanah pegangan bebas seluas kira-kira 1.5 hektar di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

“Pembangunan itu merangkumi dua menara kediaman dengan kira-kira 458 unit pangsapuri servis, selain podium, tempat letak kereta dan kemudahan penghuni.

“Projek berkenaan dijangka memulakan pembangunan pada suku keempat 2026 dan disiapkan pada suku keempat 2030,” katanya.

Paramount berkata, anak syarikat milik penuhnya, Paramount Property Development Sdn. Bhd. akan bertanggungjawab terhadap pengurusan projek serta aktiviti jualan dan pemasaran pembangunan berkenaan.

Katanya, kerjasama itu membolehkan kedua-dua pihak memanfaatkan kepakaran masing-masing bagi meningkatkan kecekapan pembangunan, mengoptimumkan kos serta memperkukuh kualiti dan daya pasaran projek.

Selain itu, usaha sama berkenaan dijangka mengukuhkan kedudukan Paramount dalam pasaran hartanah antarabangsa, selain membuka peluang kerjasama jangka panjang dengan MFAM.

Paramount menjangkakan pelupusan pegangan ekuiti itu menghasilkan keuntungan pro forma kira-kira RM43.87 juta.

Daripada hasil pelupusan RM23.06 juta itu, sebanyak RM19.75 juta akan digunakan bagi modal kerja kumpulan, manakala RM2.31 juta diperuntukkan untuk cukai keuntungan modal dan RM1 juta bagi perbelanjaan berkaitan urus niaga.

Tambahnya, pembangunan itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan pada masa hadapan apabila projek berkenaan dibangunkan dan unit-unitnya dijual secara berperingkat.

Pelupusan berkenaan dijangka selesai selewat-lewatnya pada 31 Disember 2026, tertakluk kepada pemenuhan syarat perjanjian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini