PETALING JAYA: Paramount Corporation Berhad (Paramount) menyasarkan untuk memperluaskan perniagaannya ke luar negara, dengan menetapkan sasaran 30 peratus daripada pendapatan syarikat dari segmen berkenaan dalam tempoh lima tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarahnya, Jeffrey Chew Sun Teong berkata, pemerolehan sebanyak 21.54 peratus pegangan dalam Eco World International Berhad yang memiliki projek di London, Sydney dan Melbourne melibatkan nilai RM170 juta akan mempercepatkan usaha tersebut.
Katanya, pembelian tersebut sebagai bersifat strategik kerana dapat memiliki lebih 20 peratus daripada syarikat tempatan yang memiliki operasi luar negara, mempelajari pasaran di United Kingdom serta potensi menerima dividen berjumlah RM108.57 juta tahun ini dan 2025 daripada Eco World International.
“Kami akan memainkan peranan sebagai pemegang saham strategik yang bukan sekadar mengharapkan dividen, malah kami mahu Eco World International berkembang maju ke hadapan.
“Malah, kami mahu mengembangkan perniagaan ke luar negara daripada paras kurang 10 peratus buat masa ini dan akan terus melabur dalam projek baharu di Bangkok namun, ia lebih perlahan daripada apa yang diharapkan.
“Selain itu, kami ingin meningkatkan kapasiti kami bukan sekadar sebagai pemaju di Malaysia, malah di luar negara,” katanya dalam sesi taklimat media berhubung pemerolehan saham Eco World International di sini.
Jeffrey menambah, pihaknya telah memperuntukkan sejumlah RM100 juta untuk melabur ke dalam sektor teknologi tempatan bagi tempoh 2020 hingga 2025, sebagai usaha untuk mempelbagaikan perniagaan.
Jelas beliau, pihaknya juga telah membelanjakan hampir RM40 juta ke dalam tiga syarikat teknologi setakat ini, namun peruntukan tersebut tidak semestinya perlu dihabiskan menjelang 2025.
“Dunia sekarang telah berubah dan kami mahu memiliki lebih banyak kehadiran dalam sektor teknologi.
“Pada masa sama, kami hanya akan melabur sekiranya terdapat peluang yang bersesuaian dengan kepakaran kami. Justeru, kami sedang melihat dalam beberapa segmen teknologi hartanah, e-dagang, teknologi kewangan dan teknologi pendidikan,” katanya.
Pada 10 Mei lalu, Paramount Corporation Berhad (Paramount) mengumumkan kumpulan itu mempercepat pelan pengembangan luar negaranya dengan pengambilalihan pegangan ekuiti 21.54 peratus dalam Eco World International Berhad (Eco World International).
Paramount, melalui anak syarikat milik penuhnya, Flexsis Sdn. Bhd., memperoleh 517 juta saham Eco World International pada 33 sen sesaham daripada GLL EWI (HK) Limited, untuk jumlah balasan tunai iaitu RM170.6 juta.
Jeffrey berkata, Paramount dan Eco World International boleh bekerjasama dan mencipta sinergi baharu dengan memanfaatkan pengalaman dan kepakaran masing-masing.
Katanya, Eco World International mempunyai projek pembangunan di London, Sydney dan Melbourne melalui usaha sama dan anak syarikat, dengan baki nilai pembangunan kasar RM8.6 bilion pada 29 Februari 2024. – UTUSAN










