PASIR MAS: Kerajaan sudah meminta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk menambah stok ikan ‘rakyat’ sebagai persediaan menghadapi Super El Nino yang menyebabkan aktiviti penangkapan ikan nelayan pantai terjejas.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sumber yang akan di sejuk beku itu akan diedarkan ke pasaran sebaik sahaja stok berkurangan.
“Ini persediaan kita untuk memastikan bekalan ikan mencukupi. Cuaca panas melampau dengan suhu dijangka mencecah sehingga 40 darjah Celsius.
“Situasi itu berpotensi menyebabkan ikan bergerak lebih jauh ke tengah laut sekali gus menyukarkan nelayan pantai mendapatkan hasil tangkapan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Skim Takaful Tanaman Padi dan Ramah Mesra Bersama Pesawah Negeri Kelantan di Bendang Belukar di sini hari ini.
Mohamad memberitahu, keadaan itu boleh memberi kesan kepada nelayan yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan dalam lingkungan lima kilometer dari pesisir pantai.
16 Oktober lalu, Utusan Malaysia, melaporkan, nelayan pantai dan pengusaha akuakultur dijangka berdepan tekanan sekiranya suhu meningkat sehingga melebihi 40 darjah Celcius kesan daripada fenomena El Nino.-UTUSAN










