Pindaan Akta Tabung Haji dibentang di Parlimen tahun depan

Pindaan Akta Tabung Haji dibentang di Parlimen tahun depan

ZULKIFLI HASAN -JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Tabung Haji 1995 dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan bagi memperkukuh tadbir urus Lembaga Tabung Haji (TH) serta melindungi kepentingan pendeposit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pindaan itu akan dilaksanakan dengan mengambil kira syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi TH.

Katanya, kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa khas dan jawatankuasa teknikal bagi memuktamadkan cadangan pindaan berkenaan secepat mungkin.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita sudah mempunyai jawatankuasa khas dan jawatankuasa teknikal. Kita akan memuktamadkannya secepat mungkin dan insya-Allah, tahun depan kita akan usahakan sebaiknya untuk meminda Akta Tabung Haji.

“Akta ini akan dipinda dengan mengambil kira keseluruhan transformasi yang kita lakukan berdasarkan syor RCI.

“Ini membabitkan kriteria dan kepakaran lembaga, larangan ahli politik aktif, proses pelantikan serta penamatan yang bebas, jawatankuasa berkanun, kaedah hibah, dana haji dan kajian kedudukan Seksyen 24.

“Ini bermakna, pindaan yang akan dilakukan mengambil kira pandangan daripada pemegang taruh serta usaha memastikan segala kelompangan dan kelemahan yang dikenal pasti dalam syor RCI dapat ditangani,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai jangka masa pindaan Akta Tabung Haji serta tindakan kerajaan memastikan syor RCI dilaksanakan.

Menjawab soalan asal Nurul Amin mengenai baki syor RCI yang belum dilaksanakan TH, termasuk tempoh sasaran dan pelan tindakan bagi memastikan pelaksanaannya, Zulkifli berkata, TH sudah melaksanakan 76 peratus daripada syor berkenaan dengan 13 syor berada di bawah tanggungjawabnya.

Beliau berkata, syor yang telah dilaksanakan merangkumi penambahbaikan dalam aspek tadbir urus, pelaporan kewangan, pengurusan pelaburan dan risiko serta proses membuat keputusan.

“Antara tindakan diambil termasuk mengguna pakai sepenuhnya piawaian perakaunan selaras dengan syor RCI mengumumkan kadar agihan keuntungan berdasarkan penyata kewangan tahunan diaudit sejak 2022, selain perkara berkaitan pemberian bonus tinggi, audit forensik dan penguatkuasaan.

“Baki empat syor yang masih dalam tindakan TH membabitkan perkara berkaitan pindaan Akta Tabung Haji termasuk peraturan berkaitan seperti tatatertib dan lain-lain serta skop kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang turut berkait dengan pindaan akta berkenaan.

“Alhamdulillah, kerajaan dan TH akan terus memantau kemajuan pelaksanaan setiap syor ini bagi memastikan pembaharuan yang dilaksanakan benar-benar dapat memperkukuh tadbir urus, akauntabiliti, pengurusan risiko dan kemampanan kewangan TH,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini