Dalam sesebuah perkahwinan, kecurangan sering dianggap sebagai pengkhianatan yang sukar dimaafkan namun, timbul persoalan apabila lelaki yang berlaku curang masih memilih untuk kembali kepada isterinya, seolah-olah hubungan sulit yang dijalinkan di luar tidak pernah menggugat kehidupan rumah tangga.
Lebih membingungkan, ada lelaki yang sanggup mempertaruhkan perkahwinan demi hubungan lain, tetapi pada masa sama enggan melepaskan isteri dan keluarga yang sudah dibina bertahun-tahun.
Situasi itu menimbulkan persoalan tentang perkara yang sebenarnya dicari lelaki di luar perkahwinan dan sebab mereka masih mahu kembali kepada pasangan selepas berlaku curang.
Menurut Pegawai Psikologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd Redzuan Zamberi, kecenderungan seseorang lelaki untuk kembali kepada isteri boleh dipengaruhi oleh keperluan emosi dan kestabilan kehidupan yang sudah dibina dalam perkahwinan.

Hubungan di luar rumah tangga boleh memberikan keterujaan dan perhatian baharu, manakala isteri pula menjadi individu yang berkongsi tanggungjawab, kehidupan harian dan membina keluarga bersama.
Namun, sebab seseorang kembali kepada isteri tidak sama bagi setiap individu kerana ada yang masih mempunyai perasaan terhadap pasangan, manakala sebahagian lagi mungkin takut kehilangan anak-anak, kestabilan kewangan atau kehidupan yang sudah biasa dinikmati.
Bukan cinta semata-mata
Mohd Redzuan berkata, keadaan itu menunjukkan keputusan untuk kembali kepada isteri tidak semestinya berpunca daripada cinta semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi sejauh mana seseorang lelaki bergantung kepada kehidupan yang telah dibina bersama pasangan.
“Hubungan sulit mungkin memberikan keterujaan dan perhatian yang berbeza, tetapi kehidupan bersama isteri menawarkan kestabilan serta rasa kekeluargaan yang sudah terbina sekian lama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam keadaan tertentu, lelaki tersebut mungkin mahu mengekalkan perkahwinan kerana tidak sanggup kehilangan peranan sebagai suami dan bapa, selain perlu berdepan dengan perubahan besar sekiranya hubungan itu berakhir.
Namun, kata Mohd Redzuan, keputusan untuk kembali tidak bermakna masalah dalam perkahwinan sudah selesai kerana isteri mungkin masih bergelut dengan kekecewaan dan kesukaran untuk mempercayai suaminya semula.
Ujarnya, hal ini kerana kecurangan bukan sekadar melibatkan hubungan dengan individu lain, malah turut merosakkan sebuah kepercayaan yang sepatutnya wujud dalam sesebuah perkahwinan.
“Pada masa sama, ada lelaki yang mampu meneruskan kehidupan berkeluarga seperti biasa sambil menyembunyikan hubungan sulit kerana menganggap kedua-dua perkara itu boleh dikawal.
“Mereka mungkin beranggapan selagi tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak dilaksanakan, hubungan di luar tidak akan menjejaskan rumah tangga.
“Hakikatnya, tanggungjawab sebagai suami tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan kesetiaan kerana tindakan menyembunyikan kecurangan tetap memberi kesan kepada kepercayaan pasangan apabila perkara itu terbongkar,” katanya.
Selain itu, keinginan mendapatkan perhatian daripada individu lain juga boleh menjadi antara faktor yang mendorong seseorang menjalinkan hubungan sulit.
Pujian dan layanan istimewa mungkin membuatkan seseorang berasa dirinya dihargai, tetapi keperluan tersebut tidak sepatutnya dipenuhi dengan mengorbankan kepercayaan yang diberikan oleh pasangan.
Menurut Mohd Redzuan, pengalaman hidup dan cara seseorang mengurus emosi turut mempengaruhi cara mereka membina hubungan, namun perkara itu tidak bermakna setiap individu yang berhadapan dengan masalah emosi akan berlaku curang.
Sebaliknya, seseorang tetap bertanggungjawab terhadap pilihan yang dibuat, termasuk bagaimana dia menangani masalah dalam perkahwinan tanpa mengkhianati pasangannya.
Pulang belum bererti berubah
Kecurangan boleh berulang apabila seseorang kembali kepada isteri tanpa benar-benar memahami faktor yang mendorongnya melakukan perbuatan tersebut.
Ada lelaki yang menyesal kerana takut kehilangan keluarga, tetapi belum bersedia mengubah tingkah laku atau menghentikan perkara yang mendorongnya mencari hubungan di luar perkahwinan.
Dalam keadaan ini, janji untuk berubah sahaja tidak mencukupi kerana usaha memulihkan rumah tangga memerlukan kejujuran, kesediaan mengakui kesalahan dan tindakan yang konsisten.
Lelaki yang benar-benar mahu memperbaiki hubungan perlu bertanggungjawab atas perbuatannya tanpa menyalahkan isteri, selain menghormati masa yang diperlukan pasangan untuk membina semula kepercayaan.
Sebaliknya, jika seseorang hanya mahu keadaan kembali seperti biasa tanpa mengambil kira perasaan isteri, kepulangannya mungkin sekadar usaha mendapatkan semula keselesaan hidup yang pernah dinikmati.
Isteri juga berhak menentukan sama ada mahu meneruskan perkahwinan berdasarkan keadaan dan kesediaan dirinya, bukannya berasa terpaksa menerima pasangan hanya kerana lelaki itu sudah kembali.
“Jangan ukur kesetiaan seseorang hanya berdasarkan kepulangannya. Ukurlah melalui kesediaannya untuk bertanggungjawab, menjaga batasan dan membina semula kepercayaan yang telah dirosakkan,” katanya.











