JERANTUT: Sudah lebih tiga dekad penduduk di beberapa buah penempatan pesisir Sungai Pahang dibelengu masalah terputus hubungan apabila jalan raya antara kawasan perkampungan Pulau Tawar ke Bukit Nikmat dan Durian Hijau di sini ditenggelami air setiap kali musim tengkujuh melanda.
Penduduk mendakwa, kawasan laluan sejauh kira-kira tiga kilometer kerap ditenggelami banjir akibat limpahan air Sungai Pahang yang masuk melalui anak Sungai Sambau di situ, termasuk kawasan rendah berdekatan sungai utama berkenaan.
Seorang penduduk Kampung Masjid, Pulau Tawar, Rozi Yaakob, 59, berkata, setiap kali musim tengkujuh, air Sungai Pahang berdekatan perkampungan Pulau Tawar melimpah masuk melalui anak sungai dan menenggelamkan laluan utama antara kampung tersebut.
“Pada hujung tahun berlaku Monsun Timur Laut (MTL), kami sudah menjangkakan kawasan laluan antara Pulau Tawar ke Kampung Bukit Nikmat serta kampung berdekatan akan ditenggelami air selama beberapa hari seterusnya menyebabkan penduduk terputus hubungan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurut Rozi, sekiranya berlaku banjir, air Sungai Pahang melimpah ke kawasan tanaman sawit dan pertanian komersial, tanah perkuburan Kubang Sekendal, kawasan sebuah sekolah menengah dan perkampungan pesisir sungai.
“Kami berharap pihak berwajib dapat menaik taraf laluan ini,” katanya.
Penduduk Kampung Bukit Nikmat, Rosli Dollah, 63, pula berkata, penduduk di situ terputus hubungan ke bandar Jerantut dan kampung berdekatan selama beberapa hari ketika musim tengkujuh.
“Setiap kali musim tengkujuh, kami di sini terputus hubungan keluar. Paling singkat dua hingga tiga hari namun lebih lama seperti bah merah pada 2014,” katanya.-UTUSAN.











