PARIS: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bersedia membuka akses kepada dokumen berkaitan cadangan FIFA Forward Enterprise (FFE) yang dibatalkan, susulan tekanan semakin meningkat terhadap badan induk itu berhubung isu ketelusan dan tadbir urus organisasi.
Langkah itu membolehkan ahli Majlis FIFA meneliti dokumen penting berkenaan mengikut syarat tertentu di ibu pejabat badan induk itu di Zurich, selepas Setiausaha Agung FIFA, Mattias Grafstrom menghantar jemputan kepada semua ahli majlis untuk mendaftarkan minat masing-masing.
FFE sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila FIFA mengumumkan rancangan penjualan hak Piala Dunia bernilai AS$20 bilion (RM81 bilion) sebelum membatalkannya hanya beberapa hari kemudian susulan bantahan hebat yang turut memberi tekanan terhadap kedudukan Presidennya, Gianni Infantino.
Perkembangan terbaharu itu hadir ketika badan induk bola sepak Eropah (UEFA) terus mendesak penjelasan mengenai kepimpinan Infantino, termasuk persoalan berkaitan cadangan FFE dan Anugerah Keamanan FIFA.
UEFA sebelum ini menghantar lebih 100 soalan kepada FIFA dan menetapkan 2 November sebagai tarikh akhir untuk mendapatkan maklum balas, selain menuntut reformasi lebih menyeluruh dalam organisasi berkenaan.
Bagaimanapun, FIFA berpandangan tempoh dua minggu yang diberikan UEFA untuk menjawab semua persoalan itu tidak munasabah, mengambil kira komitmen organisasi berkenaan terhadap beberapa agenda penting termasuk penganjuran kejohanan dan persiapan Kongres Luar Biasa pada 23 November ini.
“FIFA berpandangan tempoh dua minggu yang diberikan UEFA untuk menjawab lebih 100 soalan adalah tidak munasabah, mengambil kira tumpuan mereka baru-baru ini terhadap penganjuran Piala Dunia Remaja baharu di Baku, Azerbaijan.
“Organisasi itu juga sedang membuat persiapan untuk Kongres Luar Biasa pada 23 November bagi menentukan negara tuan rumah Piala Dunia Wanita FIFA edisi 2031 dan 2035. Tindakan undang-undang yang sedang berlangsung di Amerika Syarikat turut mewujudkan batasan dari sudut perundangan.
“FIFA kekal dengan pendirian bahawa pihaknya akan memberikan maklum balas kepada ahli Majlis FIFA apabila tiba masanya, manakala jemputan untuk meneliti dokumen penting itu hanya diberikan kepada ahli majlis berkenaan,” kata sumber itu.
Infantino dijadualkan bertanding semula pada Mac 2027, dengan 18 November ditetapkan sebagai tarikh akhir pencalonan. – AFP











