Boikot sawit bukan penyelesaian jerebu, jejas 242,000 keluarga pekebun kecil

Boikot sawit bukan penyelesaian jerebu, jejas 242,000 keluarga pekebun kecil

Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seruan memboikot produk berasaskan sawit susulan isu jerebu rentas sempadan bukan sahaja tidak menyelesaikan punca pencemaran udara, malah berisiko menjejaskan kehidupan lebih 242,000 keluarga pekebun kecil sawit persendirian di seluruh negara.

 

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, tindakan menyamaratakan keseluruhan industri sawit sebagai punca masalah alam sekitar adalah tidak tepat kerana ia turut menghukum pengusaha, pekerja dan pekebun kecil yang mematuhi peraturan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, walaupun keprihatinan masyarakat terhadap isu alam sekitar perlu dihargai, sebarang seruan awam perlu berlandaskan fakta serta pemahaman menyeluruh mengenai punca sebenar pencemaran.

“Kita tidak mempertikaikan hak mana-mana individu untuk menyuarakan kebimbangan terhadap alam sekitar. Namun, apabila seruan boikot dibuat tanpa membezakan antara pihak yang melakukan pencemaran dengan keseluruhan industri, kesannya boleh melangkaui sasaran sebenar.

“Akhirnya, pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap masalah tersebut turut menanggung akibatnya,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan MPOB itu susulan gesaan selebriti tempatan, Sharifah Sakinah yang mengajak orang ramai memboikot produk berasaskan sawit sebagai tindak balas terhadap isu jerebu.

Badrul Hisham berkata, jerebu rentas sempadan merupakan isu pencemaran udara yang kompleks dan memerlukan tindakan bersepadu termasuk pengesanan punca kebakaran, penguatkuasaan undang-undang, kerjasama serantau serta tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Menurutnya, Malaysia mempunyai peruntukan undang-undang yang jelas menerusi Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang melarang sebarang aktiviti pembakaran terbuka di premis dan tanah tanaman.

Katanya, mana-mana pihak yang melakukan, membenarkan atau menyebabkan pembakaran terbuka perlu bertanggungjawab dan dikenakan tindakan undang-undang tanpa mengira sektor atau latar belakang.

Dalam pada itu, beliau berkata, industri sawit bukan sekadar penyumbang kepada ekonomi negara, malah menjadi sumber pendapatan utama masyarakat luar bandar.

Lebih 242,000 keluarga pekebun kecil sawit persendirian di seluruh negara mengusahakan kawasan tanaman melebihi 866,000 hektar, sekali gus menjadikan mereka antara kumpulan yang mudah terdedah kepada perubahan harga komoditi, kos pengeluaran dan permintaan pasaran.

Katanya, kempen boikot yang menjejaskan permintaan produk sawit berpotensi memberi kesan berantai kepada keseluruhan rantaian industri termasuk pendapatan pekebun kecil, aktiviti pengumpulan dan pemprosesan tandan buah segar (BTS), operasi kilang serta peluang pekerjaan.

Malah, nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit negara mencecah RM112 bilion pada 2025, meningkat 2.9 peratus berbanding RM109 bilion pada tahun sebelumnya.

“Di sebalik angka eksport dan prestasi industri, terdapat ratusan ribu keluarga yang bergantung kepada hasil sawit untuk membiayai kehidupan, pendidikan anak-anak dan keperluan harian.

“Mereka tidak seharusnya menanggung akibat daripada seruan boikot yang tidak menyelesaikan punca sebenar isu alam sekitar,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini