PETALING JAYA: EP Manufacturing Berhad (EPMB) meraikan pengeluaran kenderaan pelbagai guna (MPV) hibrid (HEV) GWM Wey G9 dan SUV Hibrid GWM EC15S pertama dari barisan pemasangannya di Pegoh, Melaka.
Pencapaian itu sekali gus memperluas barisan kenderaan yang dipasang di fasiliti pengeluaran EPMB di Melaka kepada lapan model dan terus memperkukuh kedudukan negeri itu dalam ekosistem pengeluaran serta eksport automotif Malaysia.
Pengarah Eksekutif EPMB, Aidan Hamidon berkata, peluasan portfolio berkenaan mencerminkan keyakinan rakan kongsi terhadap keupayaan syarikat serta visi bersama bagi pembangunan industri automotif negara.
“Sejak kami mula bekerjasama dengan GWM pada 2023, kerjasama pemasangan kami telah berkembang daripada hanya satu model iaitu HAVAL H6 HEV kepada empat model, termasuk Wey G9 PHEV dan Wey G9 HEV.
“Dengan EC15S, kami kini mengusahakan seni bina platform kenderaan sepunya termaju GWM, yang membuka peluang untuk memperluas lagi kerjasama ini,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, pengeluaran kedua-dua model kenderaan berkenaan turut dilengkapkan dengan komponen yang telah disetempatkan merangkumi pelbagai bahagian teras.
“Bagi model EC15S, ia melibatkan pemasangan modul kerangka hadapan, pemasangan gandar belakang, panel instrumen, sistem HVAC dan rangkaian pendawaian.
“Manakala bagi Wey G9 HEV pula merangkumi tempat duduk, konsol tengah, modul penyejukan, kemasan pintu bahagian dalam serta rangkaian pendawaian,” katanya.
Penambahan dua model baharu itu menjadikan EPMB kini memasang empat model GWM, dua model SAIC-MG dan dua model XPENG di fasilitinya di Melaka.
Dalam pada itu, EPMB turut mengumumkan perancangan meningkatkan kapasiti tahunan fasiliti pengecatan kenderaan yang bakal dibangunkan kepada lebih 30,000 unit bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.
Kemudahan baharu itu dijangka meningkatkan pengiraan kandungan tempatan dan pengeluarannya dijadualkan bermula pada penghujung Ogos 2027 selepas proses pengujian selesai.
Untuk rekod, jumlah terkumpul pemasangan kenderaan GWM di Malaysia kini telah melepasi 10,000 unit sejak pengeluaran tempatan (CKD) bermula pada Oktober 2024, selain mengeksport lebih 1,100 unit MPV G9 ke Thailand dan Indonesia. – UTUSAN











