KUALA LUMPUR: Aset dan infrastruktur keselamatan di pintu masuk negara perlu dimodenkan bagi memastikan pemeriksaan lebih berkesan khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting memandangkan kemudahan sedia ada masih menggunakan teknologi lama sedangkan penjenayah kini menggunakan peralatan canggih yang sukar dikesan.
Katanya, usaha pemodenan itu termasuk mewujudkan Pusat Kawalan Imigresen Kebangsaan yang beroperasi secara masa nyata merentas agensi penguatkuasaan, selain penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) dengan teknologi analitik kecerdasan buatan (AI).
“Kita perlu sediakan kemudahan teknologi dan analitik ini yang lebih canggih kerana penjenayah pun menggunakan satu peralatan yang canggih dan tidak dapat dikesan.
“Penggunaan anjing pengesan di kawasan pengasingan bagasi turut menjadi antara langkah bagi mempertingkatkan keberkesanan pemeriksaan keselamatan,” katanya ketika Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai cadangan penggunaan teknologi lebih canggih bagi mengesan dadah memandangkan mesin pengimbas di semua lapangan terbang negara ketika ini hanya mampu mengesan bahan letupan dan senjata logam berbahaya.
Menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mengenai usaha memperketat kawalan keselamatan dan menangani kelemahan penyelarasan antara agensi penguatkuasaan, Anwar berkata, operasi khas pemeriksaan di pintu masuk negara kini mencapai tahap 100 peratus.
Katanya, pemeriksaan berkenaan turut melibatkan pemeriksaan badan menggunakan anjing pengesan daripada Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi kes berkaitan dadah.
“Pemeriksaan itu turut diteruskan terhadap penumpang yang menuju ke beberapa destinasi termasuk Indonesia, London, Paris, Singapura, Kolkata, Tiruchirappalli, Delhi, Hong Kong, Doha dan Auckland.
“Ini dilaksanakan kepada 3,637 penerbangan termasuk 19,721 kru penerbangan, 438,000 penumpang dan pemeriksaan lebih 599,000 bagasi. Dalam siasatan itu, memang ada barangan larangan yang dikenal pasti,” katanya.
Berhubung statistik, Anwar memaklumkan sebanyak 93 tangkapan membabitkan cubaan menyeludup dadah bernilai RM202.7 juta direkodkan di pintu masuk negara termasuk KLIA sepanjang Januari hingga Oktober lalu.
Katanya, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) pula merekodkan 44 kes rampasan dadah bernilai RM11.22 juta menerusi penguatkuasaan yang dijalankan dalam tempoh sama. -UTUSAN











