Undang-undang, Perlembagaan jadi asas penelitian keselamatan negara

Undang-undang, Perlembagaan jadi asas penelitian keselamatan negara

FAHMI Fadzil ketika menyantuni warga penduduk pada Program Korban Perdana Perpaduan Lembah Pantai 2026 di Jalan Pantai Permai di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua perkara melibatkan keselamatan negara akan sentiasa diteliti secara terperinci oleh kerajaan berpandukan kerangka undang-undang dan Perlembagaan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pendirian itu susulan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berhubung isu melibatkan aspek ketenteraan dan perlembagaan negara.

Katanya, pihak kerajaan sedia maklum akan titah tersebut dan menzahirkan rasa hormat terhadap pandangan yang disampaikan oleh baginda

“Saya menjunjung kasih atas titah Pemangku Sultan Johor dalam perkara ini dan menzahirkan penghargaan terhadap perhatian baginda terhadap isu berkenaan.

“Umum sedia maklum bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengeluarkan kenyataan berkaitan, khususnya melibatkan aspek ketenteraan, latihan, eksesais serta perkara berkaitan perlembagaan negara.

“Ia khususnya membabitkan aspek ketenteraan, latihan, eksesais serta perkara berkaitan perlembagaan,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Korban Perdana Lembah Pantai 2026 di Pustaka KL, Lembah Pantai, hari ini.

Tambah Fahmi, kerajaan sentiasa memandang serius setiap pandangan dizahirkan oleh Raja-Raja Melayu.

“Sebarang isu yang menyentuh aspek pertahanan negara perlu dirujuk kepada agensi dan saluran berkaitan supaya penjelasan tepat dapat disampaikan kepada rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor amat dukacita apabila terdapat pihak tertentu cuba mempergunakan institusi ketenteraan demi kepentingan peribadi atau sekadar untuk meraih perhatian dan populariti dalam media sosial.

Baginda bertitah, sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan perkara sedemikian, seseorang itu seharusnya memahami terlebih dahulu Perlembagaan Persekutuan termasuk perbezaan antara Negeri Bersekutu dan Negeri Tidak Bersekutu. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN