KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkukuh kawalan keselamatan sempadan dan pintu masuk negara dengan meningkatkan kerjasama dengan negara asal serta negara transit bagi membanteras penyeludupan migran dan kemasukan secara tidak sah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerjasama berkenaan melibatkan perkongsian maklumat risikan serta pengesanan awal pergerakan migran.
Katanya, pelaksanaan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) pula merupakan langkah strategik untuk memperkukuh keselamatan negara melalui pengurusan pelarian secara lebih menyeluruh teratur dan terkawal.
“Pelaksanaan DPP membolehkan kerajaan mengambil alih fungsi pendaftaran dan penentuan status pelarian yang sebelum ini dilaksanakan secara unilateral oleh Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa bagi Pelarian (UNHCR).
“Melalui sistem ini, maklumat identiti dan biometrik pelarian direkodkan secara berpusat bagi mengenal pasti individu yang berada di negara ini, melaksanakan saringan keselamatan serta memperkukuh pemantauan keberadaan mereka.
“Mekanisme ini membolehkan kerajaan membezakan individu yang benar-benar memerlukan perlindungan atas pertimbangan kemanusiaan dengan mereka yang tidak memenuhi kriteria pengiktirafan sebagai pelarian,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai strategi penguatkuasaan bagi menangani kebanjiran etnik Rohingya yang memegang kad UNHCR serta penglibatan segelintir mereka dalam perniagaan haram.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Kad DPP yang dikeluarkan di bawah Peraturan 14, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 merupakan pas khas yang membenarkan pemegangnya tinggal sementara di Semenanjung Malaysia.
Katanya, kebenaran itu tertakluk kepada syarat dan sekatan tertentu termasuk kawalan keberadaan, tempoh sah laku serta pembaharuan dokumen.
“Pemegang Kad DPP tidak diberikan sebarang kekebalan daripada tindakan penguatkuasaan sekiranya melakukan kesalahan di bawah undang-undang negara.
“Hanya individu yang telah melalui proses penentuan status dan memenuhi kriteria yang ditetapkan akan diberikan Kad DPP,” katanya.
Bagi membanteras penyalahgunaan dokumen, beliau berkata, proses pendaftaran dan pengesahan identiti diperkukuh dengan perekodan maklumat biometrik untuk mengelakkan pendaftaran berganda, penggunaan identiti palsu serta penyamaran sebagai pelarian.
Katanya, Kad DPP turut dilengkapi 30 ciri keselamatan bagi menjamin ketulenan dokumen serta mengurangkan risiko pemalsuan, pengubahsuaian dan penyalahgunaan kad.
“Maklumat pemegang kad disimpan secara berpusat oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi membolehkan pihak berkuasa membuat semakan dan mengesahkan kesahihan dokumen serta memantau pemegangnya secara berterusan,” katanya.
Saifuddin berkata, pengurusan pelarian berlandaskan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Nombor 23 (Semakan 2023) yang menggariskan peranan dan tanggungjawab 20 kementerian serta agensi kerajaan.
Menurutnya, penyelesaian akhir pengurusan pelarian merangkumi penghantaran pulang ke negara asal apabila keadaan mengizinkan serta penempatan semula ke negara ketiga.
“Langkah itu turut merangkumi pengusiran individu yang tidak layak mendapat pengiktirafan sebagai pelarian tertakluk kepada undang-undang dan pertimbangan keselamatan yang berkaitan,” katanya. -UTUSAN











