GEORGE TOWN: Keupayaan penguatkuasaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan diperkukuh menerusi perancangan perolehan senjata bukan maut termasuk pistol perenjat elektrik (taser gun) bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kesiapsiagaan anggota ketika menjalankan operasi.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, langkah itu merupakan sebahagian usaha meningkatkan pembangunan keupayaan anggota merangkumi aspek modal insan, latihan dan kelengkapan operasi.
Menurutnya, anggota turut diberikan latihan bersesuaian termasuk tatacara menaiki kapal, pengendalian bot serta kaedah berhadapan dengan situasi tertentu ketika operasi.
“Sebagai contoh, dalam kejadian seperti yang berlaku baru-baru ini, aspek latihan termasuk tatacara menaiki kapal, pengendalian bot serta cara berhadapan dengan situasi tertentu perlu diberikan perhatian.
“Dalam masa sama, kita turut memastikan peningkatan keupayaan dari aspek peralatan, antaranya penggunaan senjata bukan maut,” katanya dalam sidang akhbar sempena Program Hari Bersama Media Maritim Malaysia Tahun 2026 di sini hari ini.
Mohd Rosli berkata, menerusi peruntukan kerajaan, Maritim Malaysia turut menerima peruntukan bagi perolehan senjata termasuk senjata bukan maut seperti `taser gun’ yang boleh digunakan dalam operasi penguatkuasaan.
Menurutnya, penggunaan senjata api yang boleh membawa maut mempunyai implikasi tertentu, namun dibenarkan mengikut keperluan sekiranya anggota berdepan ancaman.
“Bagaimanapun, bagi memastikan pelaksanaan penguatkuasaan lebih terkawal, kita turut memberikan tumpuan kepada pembangunan dan perolehan peralatan seperti senjata bukan maut. Perolehan berkenaan turut mendapat peruntukan daripada kerajaan,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kecekapan anggota turut dibina menerusi latihan berterusan bagi memastikan mereka mampu mengawal diri, mematuhi arahan dan bertindak tepat apabila berhadapan keadaan mencabar.
Katanya, aspek disiplin dan keselamatan turut diberikan penekanan dalam setiap latihan termasuk pengendalian senjata serta latihan keyakinan di air. -UTUSAN











