E-Invois perkukuh pematuhan, kutipan cukai meningkat RM174.48 bilion - Utusan Malaysia

E-Invois perkukuh pematuhan, kutipan cukai meningkat RM174.48 bilion

ANWAR Ibrahim menyampaikan sijil penyertaan tax corporate governance kepada Tenaga Nasional Berhad pada majlis perasmian Sambutan Hari Inovasi dan Integriti HASiL 2026 di Cyberjaya.- UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Kutipan cukai langsung kasar bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini meningkat 5.8 peratus kepada RM174.48 bilion berbanding RM164.92 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan itu didorong usaha memperkukuh pematuhan percukaian termasuk pelaksanaan sistem e-Invois.

Beliau berkata, penggunaan data menerusi e-Invois turut mendorong lebih 97,000 pembayar cukai tampil mengemukakan borang nyata bagi tahun-tahun terdahulu secara sukarela.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tindakan itu membabitkan cukai kena dibayar berjumlah RM1.68 bilion hasil usaha pematuhan yang diperkukuh menerusi penggunaan data e-Invois.

“Pelaksanaan e-Invois merupakan antara contoh pembaharuan digital yang sedang dilaksanakan.

“Sehingga 2 November 2026, sebanyak 2.14 bilion e-Invois telah dikemukakan oleh sekitar 269,900 pembayar cukai,” katanya pada majlis perasmian Sambutan Hari Inovasi dan Integriti Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) 2026 di Menara HASiL, di sini hari ini.

Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Katanya, pelaksanaan e-Invois bukan bertujuan mengenakan cukai baharu sebaliknya menjadi instrumen penting bagi menegakkan keadilan, mengesan ketidakpatuhan dan memastikan semua pihak menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Anwar berkata, tidak adil sekiranya golongan pekerja yang jujur terus membayar cukai daripada pendapatan mereka, sedangkan pihak yang mempunyai sumber kewangan lebih besar menyembunyikan pendapatan melalui pelbagai lapisan urus niaga dan helah perakaunan.

“Tidak adil sekiranya pekerja yang jujur terus membayar cukai daripada pendapatan mereka, sedangkan pihak yang memiliki sumber kewangan lebih besar terus menyembunyikan pendapatan melalui pelbagai lapisan urus niaga dan helah perakaunan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, penggunaan teknologi terkini, analisis data dan automasi penting untuk memperkukuh pentadbiran percukaian, namun keputusan tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada teknologi tanpa pertimbangan manusia, khususnya apabila melibatkan hak dan kepentingan rakyat.

Beliau turut menegaskan bahawa kutipan hasil negara perlu berpaksikan keadilan dan amanah dengan tindakan tegas terhadap pengelakan cukai yang disengajakan, selain budi bicara berlandaskan undang-undang kepada pembayar cukai yang memerlukan bantuan dan bimbingan.

Anwar berkata, kutipan hasil yang adil dan berkesan penting bagi membiayai pembangunan negara serta memperkukuh daya tahan ekonomi, terutama ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

Beliau berkata, Belanjawan MADANI Kelima 2027 menggembleng sumber sebanyak RM510 bilion, termasuk perbelanjaan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM459.8 bilion bagi meneruskan pembangunan dan membela rakyat. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini