E-Invois Fasa 4: Tempoh peralihan 12 bulan tanpa penalti

E-Invois Fasa 4: Tempoh peralihan 12 bulan tanpa penalti

LIEW CHIN TONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi tempoh peralihan tambahan selama 12 bulan bagi pelaksanaan e-Invois Fasa 4 bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2026.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, sepanjang tempoh tersebut pembayar cukai dibenarkan mengeluarkan e-Invois secara disatukan dan tiada penalti atau denda dikenakan sekiranya berlaku ketidakpatuhan.

Katanya, langkah itu bertujuan mengurangkan beban pematuhan khususnya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) selain memastikan proses peralihan kepada sistem digital dapat dilaksanakan secara lebih lancar.

“Sebagai usaha berterusan dalam membantu peniaga melaksanakan e Invois, kerajaan telah memperkenalkan dua kemudahan pemberian tempoh peralihan tambahan 12 bulan yang membenarkan pembayar cukai mengeluarkan e-Invois disatukan.

“Kedua, MyInvois e-POS iaitu sebuah platform digital Point-of-Sale (atau POS). Dengan adanya platform ini, PMKS tidak perlu melabur untuk membangunkan sistem sendiri kerana ia boleh diakses secara percuma, malah telah diperluas kepada peniaga berpendapatan tahunan sehingga RM5 juta,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) berhubung langkah kerajaan memastikan pelaksanaan e-Invois Fasa 4 tidak membebankan PKS dari segi kos pematuhan serta mengelakkan kenaikan kos dipindahkan kepada pelanggan di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambahnya, peniaga yang mendapatkan khidmat perundingan bagi pelaksanaan e-Invois turut layak mendapat potongan cukai sehingga RM50,000 setahun bagi tahun taksiran 2024 hingga 2027.

“Kerajaan yakin melalui usaha berterusan yang dilaksanakan terutamanya penambahbaikan ke atas dasar pelaksanaan e-Invois, ia dapat membantu peniaga khususnya PKS.

“Ia bagi menguruskan kos berkaitan dengan pelaksanaan e-Invois dan pada masa yang sama mendapat manfaat daripada proses digitalisasi perniagaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN