CYBERJAYA: Sebanyak 820.5 juta e-Invois dikeluarkan secara keseluruhan dengan penyertaan lebih daripada 111,600 pembayar cukai setakat hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL), Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, jumlah itu bukan sahaja melibatkan pembayar cukai fasa pertama hingga fasa ketiga yang melaksanakan e-Invois secara mandatori, tetapi turut disertai oleh pembayar cukai fasa keempat secara sukarela.
“Statistik ini menggambarkan bahawa pelaksanaan e-Invois secara umumnya diterima dengan sangat baik dalam kalangan perniagaan di Malaysia.
“Tahap pematuhan pelaksanaan secara mandatori juga mencatatkan peratusan yang amat memberangsangkan.
“Di pihak HASiL, kami amat komited dalam memberikan bantuan dan khidmat nasihat kepada semua pembayar cukai yang terlibat untuk memastikan kefahaman dan kesedaran tentang
kepentingan dan manfaat pelaksanaan e-Invois bagi perniagaan atau organisasi setiap pembayar cukai,” katanya ketika berucap pada Sesi Libat Urus HASiL bersama Persatuan Perdagangan di sini hari ini.
Abu Tariq berkata, sesi libat urus pada hari ini merupakan komitmen berterusan HASiL bagi mendengar secara langsung daripada komuniti perniagaan berhubung isu dan cabaran yang dihadapi oleh perniagaan untuk melaksanakan e-Invois.
Katanya, HASiL juga berharap dewan perdagangan dan persatuan perdagangan juga memainkan peranannya dalam memastikan pemahaman dan kesedaran dalam kalangan ahli-ahlinya terhadap pelaksanaan e-Invois, di samping menjadi penghubung dengan pihak HASiL bagi menyampaikan kegusaran atau cabaran yang berasas untuk perhatian pihak HASiL dan kerajaan.
Pelaksanaan e-Invois bermula pada 1 Ogos 2024 secara berfasa dan kini sedang menuju ke Fasa 4 dengan pelaksanaan Fasa 4 akan melibatkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan sehingga RM5 juta. – UTUSAN









