Maklumat TIN tidak tepat antara punca e-Invois ditolak

Maklumat TIN tidak tepat antara punca e-Invois ditolak

ABU Tariq pada sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus HASiL bersama Persatuan Perdagangan di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Kegagalan mendapatkan maklumat tepat seperti Nombor Pengenalan Cukai (TIN) dikenal pasti antara punca utama penolakan e-Invois yang dihantar oleh pembayar cukai.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL), Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, masalah itu merupakan antara cabaran yang dikesan apabila berlakunya kesilapan teknikal melibatkan data.

“Mungkin terganggu sedikit penghantaran e-Invois apabila mereka tidak mendapat data yang tepat atau nombor yang betul, menyebabkan e-Invois tersebut ditolak,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus HASiL bersama Persatuan Perdagangan di sini hari ini.

Abu Tariq berkata, HASiL telah menyediakan kemudahan sistem yang boleh diakses oleh pembayar cukai bagi menyemak kesahihan maklumat TIN sebelum menghantar e-Invois masing-masing.

Jelasnya, e-Invois memerlukan ketepatan maklumat kerana ia menjadi asas kepada transaksi perniagaan yang direkod dan dilapor kepada HASiL.

“Itu antara usaha kita untuk membolehkan pembayar cukai khususnya penjual untuk
menyemak nombor TIN yang betul daripada pihak HASiL.

“Mereka boleh akses sistem yang kita sediakan bagi mendapatkan maklumat yang tepat berhubung dengan TIN (kerana) nama pembeli itu adalah salah satu keperluan yang penting, kalau tidak ada data tersebut e-invoice boleh ditolak di peringkat awal, sehingga ada data TIN yang betul barulah e-invoice yang dikemukakan akan diterima itu,” ujarnya.

Untuk rekod, HASiL menyediakan fungsi Carian TIN yang boleh diakses dari Portal MyTax, bagi membantu pembayar cukai mendapatkan TIN yang betul daripada pembeli.

Sementara itu, mengulas berhubung pelaksanaan e-Invois Fasa 4, Abu Tariq berkata, ia dijangka memberi impak lebih besar apabila lebih ramai pembayar cukai termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mula melaksanakannya secara menyeluruh bermula tahun hadapan.

Menurutnya, HASiL melihat pelaksanaan fasa seterusnya bukan sahaja sebagai inisiatif digital, tetapi usaha memperkukuh budaya kepatuhan cukai menerusi penyimpanan rekod perniagaan yang kemas dan sistematik.

“Fasa keempat ini penting kerana ia akan melibatkan kumpulan pembayar cukai yang lebih besar. Jadi, apabila mereka mula menggunakan e-Invois, rekod perniagaan mereka akan lebih teratur. Dengan adanya rekod yang baik, ia akan memudahkan pelaporan cukai tahunan dan secara tidak langsung meningkatkan tahap pematuhan,” katanya.

Fasa 4 e-invois yang akan bermula 1 Januari ini melibatkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan sehingga RM5 juta.

Pada 6 Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan langkah kerajaan menaikkan nilai ambang pengecualian e-Invois kepada RM1 juta, (daripada RM500,000) bermula tahun depan sebagai langkah mengurangkan beban bagi perusahaan kecil dan sederhana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN