KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menolak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan mafia korporat sekiranya terdapat asas dan keperluan yang jelas untuk siasatan lebih menyeluruh serta fakta kukuh dikenal pasti.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, cadangan penubuhan suruhanjaya itu perlu dilihat berdasarkan kemunasabahan untuk melanjutkan siasatan termasuk mengenal pasti skop yang benar-benar perlu diteliti.
“Kerajaan akan terus memastikan bahawa sebarang dakwaan yang mempunyai asas diteliti secara telus dan tindakan sewajarnya diambil berdasarkan undang-undang tanpa mengira kedudukan atau latar belakang mana-mana pihak,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berhubung perkembangan siasatan mafia korporat sama ada individu yang dikatakan dalang utama akan dihadapkan ke mahkamah serta kesediaan kerajaan menubuhkan RCI bagi menangani isu itu.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan Op Viking susulan maklumat dan risikan berkaitan aktiviti pengubahan wang haram.
Katanya, dakwaan mafia korporat itu membabitkan agensi penguat kuasa yang dikatakan menyalahgunakan kuasa sehingga memberi tekanan kepada ahli perniagaan untuk menjual saham syarikat pada harga rendah bagi mencapai matlamat menguasai syarikat.
“Satu kertas siasatan telah dibuka pada 14 Oktober 2025 di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
“PDRM seterusnya mengambil tindakan seperti menahan beberapa individu serta membekukan dan menyita pelbagai aset yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti yang sedang disiasat,” katanya.
Beliau berkata, Op Viking dilaksanakan melalui Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Menurutnya, seramai 70 individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan setakat 25 September lalu berhubung siasatan berkenaan.
“Pembekuan dan penyitaan itu melibatkan lapan bidang hartanah, 11 kenderaan serta 417 akaun Central Depository System (CDS).
“Tindakan itu turut membabitkan 70 akaun dagangan saham berjumlah kira-kira RM323.59 juta serta 404 akaun bank berjumlah kira-kira RM85.62 juta,” katanya. -UTUSAN











