KUALA LUMPUR: Kemampuan rakyat dan daya saing berbanding pengangkutan lain menjadi antara asas kerajaan menentukan struktur tambang Kereta Api Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) selain masa serta kualiti perjalanan dan kemampanan operasi jangka panjang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Jemaah Menteri pada 16 Oktober lalu bersetuju dengan cadangan struktur dan mekanisme tambang penumpang ECRL termasuk penggunaan mekanisme tambang dinamik.
Katanya, kadar tambang sebenar akan ditentukan berdasarkan faktor seperti permintaan pasaran, kapasiti, tempoh pembelian tiket, jenis perkhidmatan serta kelas perjalanan.
“Mekanisme ini memberikan lebih banyak pilihan kepada penumpang untuk mendapatkan kadar tambang yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing. Penumpang yang merancang perjalanan dan membeli tiket lebih awal juga berpeluang menikmati kadar tambang yang lebih menarik.
“Diskaun konsesi turut disediakan kepada kategori penumpang yang layak,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berhubung asas penetapan struktur tambang ECRL termasuk perbandingan dengan tambang bas, kereta api dan kos perjalanan menggunakan kenderaan persendirian.
Mengulas lanjut, Loke Siew Fook berkata, kerajaan turut mengambil kira kos dan nilai keseluruhan perjalanan ECRL berbanding perkhidmatan bas, kereta api, kapal terbang serta penggunaan kenderaan persendirian.
Katanya, penilaian itu bukan sahaja melibatkan harga tetapi turut merangkumi masa perjalanan, keselesaan, keselamatan, kebolehpercayaan serta kemudahan akses ke destinasi.
“ECRL akan menyediakan satu lagi pilihan pengangkutan kepada rakyat membolehkan pengguna memilih mod perjalanan yang paling sesuai berdasarkan keutamaan masing-masing.
“Matlamat kerajaan bukan semata-mata untuk menjadikan ECRL pilihan yang paling murah tetapi untuk memastikan ia menawarkan nilai perjalanan yang kompetitif, pantas, selesa dan boleh dipercayai,” katanya.
Tambahnya, ECRL Operation Sdn. Bhd. (EOSB) akan melaksanakan strategi pemasaran, promosi dan diskaun bersasar dari semasa ke semasa bagi menggalakkan penggunaan perkhidmatan itu. -UTUSAN











