Operasi Doktor Udara di Sarawak ditangguh hingga siasatan selesai

Operasi Doktor Udara di Sarawak ditangguh hingga siasatan selesai

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Doktor Udara (PDU) di Sarawak hanya akan disambung semula selepas siasatan rasmi nahas helikopter di Long Lellang, Sarawak pada 8 September lalu selesai dan penilaian menyeluruh oleh jawatankuasa bebas diperoleh.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil langkah menangguhkan sementara operasi perkhidmatan berkenaan bagi membolehkan siasatan oleh pihak berkuasa berkaitan dijalankan.

Menurutnya, KKM turut menubuhkan jawatankuasa bebas untuk melaksanakan penilaian dalaman secara menyeluruh terhadap pelaksanaan perkhidmatan PDU.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jawatankuasa ini bertanggungjawab meneliti aspek penyampaian perkhidmatan, pelaksanaan dan pematuhan syarat kontrak sedia ada, keselamatan operasi serta kebajikan dan kesejahteraan petugas kesihatan.

“Penilaian ini juga bertujuan mengenal pasti ruang penambahbaikan bagi memperkukuh aspek keselamatan dan keberkesanan pelaksanaan perkhidmatan PDU,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Tampin) mengenai langkah segera bagi memastikan keselamatan doktor, penolong pegawai perubatan dan jururawat yang bertugas menerusi PDU di kawasan pedalaman khususnya selepas tragedi di Ulu Baram yang meragut nyawa empat petugas KKM.

Dzulkefly berkata, sebarang keputusan untuk menyambung semula perkhidmatan itu akan mengambil kira dapatan siasatan, tahap kesiapsiagaan operasi serta pematuhan terhadap keperluan keselamatan yang ditetapkan.

Katanya, KKM juga sedang memperkukuh kaedah penyampaian perkhidmatan kesihatan secara pelbagai mod bagi memastikan penduduk pedalaman yang terjejas terus mendapat akses kepada rawatan.

“Langkah itu merangkumi penilaian semula keperluan setiap lokaliti, pengoptimuman penggunaan laluan darat dan air serta pengaktifan mekanisme rujukan dan pengangkutan alternatif.

“Bagi kes kecemasan dan pemindahan perubatan (Medical Evacuation atau MEDEVAC), KKM turut memperkukuh kerjasama strategik antara agensi.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menyatakan kesediaan membantu pelaksanaan MEDEVAC manakala libat urus dengan agensi kerajaan lain akan diteruskan bagi memperkukuh mekanisme sokongan kepada komuniti pedalaman yang terjejas,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini