Kerjasama BN-PN belum tentu gugat PH

Kerjasama BN-PN belum tentu gugat PH

penyokong Barisan Nasional dan Perikatan Nasional hadir bagi menyatakan sokongan kepada calon parti mereka pada hari penamaan calon PRN Melaka, Sabtu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 belum tentu menggugat peluang Pakatan Harapan (PH) kerana PH juga mampu menyatukan sokongan pengundi.

Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Howard Lee Chuan How berkata, kerjasama antara parti merupakan perkara biasa dalam pilihan raya.

Namun, katanya, keputusan yang bakal dibuat pengundi tentang mana-mana kerjasama adalah hak peribadi mereka yang tidak boleh dikawal oleh sesiapa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya rasa inilah asam garam lumrah fitrah politik. Apabila ada pihak yang ingin bergabung, ada tiga penjuru ke, lima penjuru ke, ada satu dua gabung, itu asam garam.

“Tapi adakah benda ini menggugat? Membawa muda­rat? Saya rasa saya tak nak mendahului keputusan rakyat.

“Jadi, dalam politik ini segala adalah mungkin. Kalau mudarat, mudaratlah. Kami tetap akan kekal dengan perjuangan yang sama, kekal dengan perjuangan rakyat dan kami akan buat apa yang perlu untuk mendapatkan keyakinan dan mengekalkan keyakinan rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas kemungkinan penyatuan undi antara BN dan PN, Howard berkata, PH juga mempunyai kemampuan untuk menyatukan sokongan pengundi.

“Mereka boleh menyatukan, kami pun boleh menyatukan. Nak menyatukan siapa, itulah yang induknya,” katanya.

Howard berkata, rakyat kini mempunyai akses yang luas kepada maklumat menerusi media sosial dan berita yang disampaikan dengan pantas dan membolehkan mereka melihat agenda setiap parti.

“Penyatuan asas sokongan mereka ini adalah atas apa yang mereka rasa adalah deposit tetap. Tapi rakyat ini celik mata.

“Dengan kepantasan maklumat sekarang, dengan media sosial, dengan berita yang memang segera, mungkin rakyat akan lebih pantas secara lebih celik nampak agenda-agenda parti masing-masing.

“Dan penyatuan itu adalah berasaskan apa yang mereka nak sampaikan, kami pun boleh sampaikan juga,” katanya.

Howard berkata, beliau tidak bimbang dengan kerjasama itu kerana PH mempunyai pencapaian sebagai sebahagian daripada kerajaan di peringkat Persekutuan untuk diketengahkan kepada rakyat.

Katanya, keikhlasan dan ke­tulusan dalam bekerjasama dengan semua parti turut menjadi antara perkara yang boleh disampaikan PH kepada pengundi.

“Jadi bagi saya, saya tidak risau. Saya rasa apa yang PH sampaikan adalah bukan sahaja maklumat, bukan sahaja apa yang kita sampaikan dalam pilihan raya, tetapi apa yang telah kami capai sebagai sebuah kerajaan di peringkat Persekutuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini