Benjolan kecil di sekitar mata sering disangka milia, sedangkan itu mungkin syringoma, iaitu ketumbuhan kecil yang berasal daripada saluran kelenjar peluh.
Walaupun tidak berbahaya dan tidak berjangkit, syringoma boleh menjejaskan penampilan apabila benjolan semakin banyak dan tumbuh secara berkelompok pada kulit.
Ketua Pegawai Eksekutif Klinik Lovina, Mejar (B) Dr. Hamidah Mohd. Salleh berkata, syringoma terbentuk apabila struktur pada saluran kelenjar peluh ekrin membesar lalu membentuk benjolan kecil pada permukaan kulit.
Menurutnya, kelenjar peluh manusia terdiri daripada dua jenis utama, iaitu kelenjar ekrin dan juga kelenjar apokrin.
“Kelenjar peluh kita ada dua, satu kelenjar peluh yang mengeluarkan peluh macam biasa. Satu lagi kelenjar peluh apokrin yang mempunyai fungsi yang berbeza,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ciri-ciri
Menurut Dr. Hamidah, syringoma lazimnya muncul di sekitar mata dengan benjolan saiz kecil, kira-kira satu hingga tiga milimeter.
Benjolan itu biasanya berwarna kekuningan atau hampir sama dengan warna kulit serta terasa sedikit keras apabila disentuh.
Ia juga boleh muncul secara berkelompok, termasuk pada kedua-dua belah mata, namun kebiasaannya tidak menyebabkan kesakitan atau kegatalan.
“Kalau kita cuba picit, memang tidak ada benda yang keluar,” katanya.
Mengulas mengenai puncanya, beliau berkata, faktor sebenar yang menyebabkan syringoma masih belum diketahui dengan jelas.
Bagaimanapun, faktor genetik dan sejarah keluarga adalah antara perkara yang dikaitkan dengan kemunculannya.
Perubahan hormon juga mungkin mempengaruhi kemunculannya, termasuk ketika akil baligh dan kehamilan.
Syringoma mula muncul ketika usia remaja dan boleh bertambah secara perlahan-lahan apabila seseorang semakin meningkat usia.
“Perkara ini kerap berlaku dalam kalangan wanita, biasanya pada waktu remaja,” jelasnya.
Selain itu, individu yang mempunyai sindrom down dan golongan berketurunan Asia turut kerap mengalaminya.
Beza syringoma dan milia
Syringoma sering disalah anggap sebagai milia kerana kedua-duanya mempunyai ciri serupa benjolan kecil dan keras pada kulit.
Dr. Hamidah berkata, milia terbentuk akibat pengumpulan keratin di bawah permukaan kulit, manakala syringoma berasal daripada saluran kelenjar peluh.
“Milia terbentuk daripada pengumpulan sel kulit mati. Benjolannya keras dan biasanya lebih jelas kelihatan, ” katanya.
Berbeza daripada syringoma, kandungan milia boleh dikeluarkan melalui prosedur yang sesuai oleh pakar. Syringoma pula tidak mengeluarkan kandungan apabila dipicit.
Laser antara pilihan rawatan
Terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan untuk merawat syringoma, antaranya rawatan laser yang lazim dipilih kerana prosedurnya lebih cepat dan berpotensi mengurangkan risiko parut.
Selain laser, krioterapi yang menggunakan suhu sejuk turut boleh dipertimbangkan. Bagaimanapun, kaedah itu mengambil masa lebih lama dan boleh menyebabkan kulit melepuh.
Bagi pesakit yang mempunyai banyak benjolan, prosedur pemotongan boleh dipertimbangkan untuk membuang syringoma. Namun, kaedah itu mempunyai risiko meninggalkan parut yang lebih ketara.
Rawatan chemical peel juga merupakan antara pilihan rawatan, tetapi kesesuaiannya perlu dinilai berdasarkan keadaan kulit dan risiko parut.
Pemilihan kaedah rawatan bergantung pada keadaan pesakit, jumlah dan lokasi benjolan serta risiko parut yang mungkin berlaku.
Ujarnya, syringoma boleh muncul semula selepas rawatan dan sesetengah pesakit mungkin memerlukan beberapa sesi untuk mengurangkan benjolan yang ada.
Jangan picit sendiri
Dr. Hamidah menegaskan orang ramai supaya tidak memicit, mengopek atau mencungkil syringoma menggunakan kuku, jarum mahupun peralatan lain kerana tindakan itu boleh mencederakan kulit dan meningkatkan risiko pembentukan parut.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menggunakan ubat yang dibeli secara dalam talian tanpa mendapatkan pemeriksaan doktor terlebih dahulu.
“Ini kerana syringoma boleh disalah anggap sebagai ketuat atau masalah kulit lain, sekali gus menyebabkan seseorang memilih rawatan yang tidak sesuai dengan keadaan sebenar,” katanya.
Rawatan yang tidak tepat bukan sahaja boleh memburukkan keadaan kulit, malah berisiko menyukarkan prosedur laser sekiranya rawatan itu diperlukan kemudian.
Selain itu, penggunaan pelindung matahari selepas menjalani rawatan laser juga penting bagi membantu mengurangkan risiko perubahan pigmentasi pada kulit.
Benjolan yang berjaya dibuang tidak semestinya menjadikan kulit kembali sekata kerana kawasan yang dirawat boleh menjadi gelap selepas prosedur.











