TEHERAN: Iran pada Isnin berkata negara itu bersedia membuka semula Selat Hormuz dalam tempoh dua hari sekiranya Amerika Syarikat (AS) bersetuju memenuhi tuntutannya, selepas sebelum ini mencadangkan tempoh selama seminggu.
“Kemungkinan melaksanakan rancangan ini dalam tempoh dua hari lagi merupakan satu lagi petunjuk pendekatan ikhlas Iran,” kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei.
“Kami telah menyatakan bahawa sekiranya tuntutan Iran dipenuhi, keselamatan di Selat Hormuz boleh dipulihkan dan proses rundingan disambung semula dalam tempoh singkat,” ujarnya
Beliau berkata, pertukaran mesej dengan AS melalui orang tengah masih berlangsung dan segala-galanya bergantung kepada kesediaan Washington menerima tuntutan Iran.
“Hanya selepas itu kita boleh membincangkan peringkat seterusnya,” ujarnya.
Sejak perang di Asia Barat tercetus pada akhir Februari, Iran mendakwa menguasai Selat Hormuz, laluan penting bagi penghantaran sumber tenaga.
Iran kerap menyasarkan kapal yang cuba melalui selat itu tanpa kebenarannya, manakala AS bertindak balas dengan mengenakan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran.
Pada September, Iran pada mulanya mengemukakan pelan tujuh hari yang disampaikan kepada AS menerusi Qatar, dengan Teheran akan membuka semula Selat Hormuz pada hari keenam selepas Washington memenuhi tuntutan negara itu.
Tuntutan berkenaan termasuk menamatkan perang di Asia Barat di semua medan, membebaskan aset Iran yang dibekukan di luar negara, menarik balik sekatan terhadap sektor minyaknya dan menamatkan sekatan laut AS. – AFP











