YB 'tembak babi' boleh tarik undi protes di Pengkalan Batu

YB ‘tembak babi’ boleh tarik undi protes di Pengkalan Batu

NORHIZAM HASSAN BAKTEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang lebih dikenali sebagai YB ‘tembak babi’ berpotensi menarik sebahagian undi protes di kawasan DUN yang ditandinginya mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pegawai Penyelidik, Nusantara Academy for Strategic Research (NASR), Muhammad Luthfi Mohd Yusri berkata, beliau berpotensi muncul sebagai calon yang boleh memecahkan undi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) selain menjadi faktor penentu yang mengubah keseimbangan undi.

Beliau berkata, Norhizam mempunyai beberapa kelebihan seperti jenama pengenalan namanya dalam kalangan pengundi setempat, pengalaman sebagai bekas Exco Kerajaan Negeri serta peluang memanfaatkan sentimen ketidakpuasan hati sebahagian pengundi Melayu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam persaingan mendapatkan sokongan pengundi Melayu, beliau berpotensi menarik sebahagian undi protes, khususnya daripada kelompok yang tidak berpuas hati dengan BN.

“Bagaimanapun, kelebihan ini dibatasi oleh beberapa liabiliti, termasuk rekod politik beliau sejak 2021, sejarah pertukaran parti, imej kontroversi tentang babi dan keterbatasan jentera berbanding parti-parti yang lebih besar.

“Kesan paling signifikan mungkin bukan melalui jumlah undi yang diperolehnya semata-mata, tetapi melalui undi yang berjaya dialihkan daripada BN atau calon lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Norhizam dinamakan antara tujuh calon Bersatu yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.

DUN yang mempunyai lebih 65 peratus pengundi Melayu itu menyaksikan persaingan empat penjuru antara calon BN, Siti Aisyah Mahmood, Jason Tze-Xi Nathan (PH) dan Goh Han Koon (Bersama).

Untuk rekod, Norhizam pernah memenangi kerusi DUN Pengkalan Batu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 pada 2018 atas tiket PH.

Pengkalan Batu merupakan antara kerusi marginal di Melaka selepas BN memenanginya dengan majoriti tipis 131 undi pada PRN 2021.

Ketika itu, Datuk Kalsom Noordin memperoleh 4,839 undi menewaskan calon PH, Muhamad Danish Zainudin yang meraih 4,708 undi dalam pertandingan lima penjuru.

Muhammad Luthfi berkata, kemenangan Norhizam pada PRU14 banyak didorong oleh gelombang dan kekuatan logo PH, bukan semata-mata faktor peribadinya.

Jelasnya, apabila bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya berikutnya, beliau tewas, sedangkan BN berjaya merampas kembali kerusi Pengkalan Batu.

Sudah tentu, katanya, menjadi cabaran terbesar buat Norhizam membina semula mesej politik yang konsisten dan meyakinkan.

“Sukar untuk beliau memposisikan diri sebagai suara protes yang tulen apabila parti yang diwakilinya menyokong Belanjawan 2027 di peringkat Persekutuan, sedangkan dalam konteks politik Melaka, Bersatu pula berada dalam persaingan dengan PH. Celaru mesejnya.

“Pengundi PH yang pernah memberikan sokongan kepadanya pada 2018 juga tidak mempunyai alasan politik yang cukup kuat untuk mengulangi pilihan tersebut. Sebaliknya, mereka lebih cenderung kekal bersama DAP,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini