DHAKA: Kilang pakaian di Bangladesh kembali beroperasi pada Isnin selepas penutupan besar-besaran dan gangguan pengeluaran sehari sebelumnya susulan bantahan pekerja yang menuntut kenaikan gaji.
Bagaimanapun, pengeluar masih bimbang ketegangan berterusan boleh mencetuskan lebih banyak kekacauan dan menjejaskan operasi sektor berkenaan.
Industri pakaian siap pakai merupakan antara penyumbang utama ekonomi Bangladesh dengan menjana lebih 80 peratus pendapatan eksport negara itu, menggaji kira-kira empat juta pekerja dan menyumbang sekitar 10 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Pergolakan terbaharu itu menjejaskan operasi di beberapa hab utama pembuatan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap penghantaran eksport serta keyakinan pembeli terhadap Bangladesh.
Bangladesh merupakan pengeksport pakaian kedua terbesar dunia selepas China.
Pekerja industri berkenaan menuntut gaji minimum bulanan dinaikkan kepada 30,000 taka (RM981) berbanding kadar semasa sebanyak 12,500 taka (RM408.90).
Tuntutan itu mencerminkan tekanan yang semakin meningkat susulan kenaikan kos sara hidup dan inflasi berterusan.
Kerajaan Bangladesh pada Ahad menubuhkan lembaga gaji minimum yang dianggotai enam anggota bagi meneliti tuntutan berkenaan, namun langkah itu gagal meredakan bantahan pekerja serta-merta.
Pada hari sama, pekerja mengadakan sekatan jalan raya di beberapa kawasan perindustrian, manakala polis di ibu negara, Dhaka, menggunakan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan penunjuk perasaan.
“Bangladesh mempunyai antara kadar gaji pekerja sektor pakaian paling rendah di dunia,” kata Setiausaha Agung Persekutuan Pekerja Industri dan Pakaian Bangladesh, Babul Akhter, yang turut mewakili pekerja dalam lembaga gaji berkenaan.
Pemilik kilang pula berkata industri berkenaan berdepan peningkatan kos operasi, ketidaktentuan pasaran tenaga susulan konflik di Asia Barat serta permintaan yang semakin perlahan di pasaran eksport utama.
Persatuan Pengilang dan Pengeksport Pakaian Bangladesh (BGMEA) memaklumkan demonstrasi di beberapa bandar menjejaskan operasi 529 kilang dan membabitkan hampir sejuta pekerja.
“Kerajaan sudah mengambil langkah dengan menubuhkan lembaga gaji minimum. Kami berharap pekerja memberi ruang supaya proses semakan dapat diteruskan,” kata Presiden BGMEA, Mahmud Hasan Khan.
Beliau berkata, sekiranya bantahan kembali tercetus pada lewat hari dan pihak pengurusan terpaksa menutup kilang, mereka tiada pilihan selain melaksanakan peruntukan ‘tiada kerja, tiada gaji’.
Katanya, wakil industri dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri bagi membincangkan pergolakan berkenaan.- AGENSI











