CIDB perkasa industri binaan negara menerusi MCIEA 2026

CIDB perkasa industri binaan negara menerusi MCIEA 2026

ALEXANDER Nanta Linggi (tengah) bersama penerima Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2026 di The Hotel Majestic, Kuala Lumpur. -UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2026 menyaksikan lonjakan standard baharu sektor pembinaan negara menerusi pengenalan tiga kategori anugerah baharu selain pengiktirafan terhadap projek-projek mega bertaraf antarabangsa.

Edisi ke-31 anugerah berprestij anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) itu menerima sebanyak 276 pencalonan dengan 20 anugerah disampaikan kepada 55 penerima bagi tiga kategori utama iaitu Kontraktor Terbaik, Projek Terbaik dan Individu.

Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Ahmad Farrin Mokhtar berkata, MCIEA bukan sekadar pentas pengiktirafan pencapaian semata-mata, sebaliknya berfungsi sebagai pemangkin bagi menggalakkan penggiat industri meningkatkan standard, belajar daripada amalan terbaik dan menghargai mereka yang memberi sumbangan bermakna.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kecemerlangan industri kini tidak lagi diukur menerusi penyiapan projek semata-mata tetapi merangkumi kualiti penyampaian, keupayaan tenaga kerja, inovasi yang dibawa serta nilai jangka panjang yang dicipta,” katanya dalam sidang akhbar MCIEA 2026 di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur.

Menurut Ahmad Farrin, jumlah penyertaan MCIEA tahun ini menunjukkan trend meningkat berbanding tahun lalu, sekali gus membuktikan semakin ramai pemain industri mengiktiraf anugerah yang dianjurkan CIDB.

“Kalau kita lihat bilangan penyertaan, ia berada pada trend meningkat berbanding tahun lalu. Semakin ramai yang mengiktiraf anugerah yang diberikan oleh CIDB, selain anugerah lain dalam industri.

“Sama seperti industri perfileman, banyak anugerah yang ada tetapi kemuncaknya ialah Anugerah Akademi atau Oscar.

“Begitu juga dalam industri pembinaan. Kita ada banyak anugerah tetapi yang paling tinggi ialah anugerah CIDB.

Beliau berkata, tiga kategori baharu diperkenalkan tahun ini iaitu Anugerah Ikon Perubahan (Changemaker), Anugerah Kontraktor Muda Cemerlang dan Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Fasiliti.

“Kategori pengurusan fasiliti diwujudkan kerana skop kerja penyenggaraan aset binaan semakin meningkat dan kami mengiktiraf peranan mereka dalam memastikan bangunan terutama hospital, kekal selamat dan berfungsi walaupun semakin berusia,” katanya.

Sementara itu, Penasihat PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd., Datuk Tengku Ab Aziz Tengku Mahmud berkata penetapan syarat penyertaan minimum 30 peratus kontraktor tempatan dalam pembinaan Merdeka 118 merupakan strategi sengaja bagi memastikan pemain industri negara tidak ketinggalan.

Beliau yang juga penerima Anugerah Tokoh Terkemuka Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2026 berkata, cabaran itu timbul kerana tidak ramai kontraktor tempatan pernah membina bangunan setinggi 100 tingkat.

“Proses senarai pendek kontraktor antarabangsa dan tempatan dilaksanakan sebelum tender diberikan dengan syarat penyertaan minimum itu dikenakan kepada semua pihak.

“Itu strategi yang disengajakan untuk memastikan pemain tempatan tidak ketinggalan,” katanya.

Katanya, beberapa inovasi yang diperkenalkan dalam projek tersebut kini diikuti oleh pihak lain seperti sistem jump lift, iaitu lif dipasang awal dan dinaikkan mengikut kemajuan pembinaan supaya boleh digunakan pekerja sebagai lif sementara sebelum ditukar menjadi lif tetap.

“Sejak kami memperkenalkannya, ada tapak lain yang menggunakan sistem ini, malah untuk bangunan 50 hingga 60 tingkat.

“Kami telah menunjukkan bahawa ia boleh dilakukan dan bangunan lain boleh mengikut apa yang kami lakukan,” katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif EPIC Homes, John-son Oei yang juga penerima Anugerah Ikon Perubahan berkata, pertubuhan sosial itu telah membina lebih 400 rumah di seluruh negara dengan sasaran lebih 100 rumah setahun menerusi inisiatif Project 100.

Menurutnya, sistem pembinaan modular yang menggunakan komponen ringan dan piawai membolehkan sebuah rumah siap dipasang dalam tempoh tiga hari di kawasan pedalaman tanpa jentera berat.

“Lebih 10,000 sukarelawan telah dilatih dan program ini berfungsi sebagai saluran bakat kepada industri pembinaan tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru pemain industri menyalurkan lebihan bahan binaan dan berkongsi kemahiran dengan komuniti memerlukan, selain mengajak CIDB memformalkan laluan kemahiran bagi sukarelawan yang ingin berkarier dalam bidang itu.

“Inovasi bukan sekadar membina lebih tinggi atau lebih pantas tetapi membina negara yang memberi setiap orang tempat untuk berkembang maju.

“Penerimaan anugerah ini bukan garis penamat sebaliknya pemangkin untuk usaha seterusnya,” katanya.

Selain itu, Pengarah Eksekutif YTL Construction, Yeoh Keong Yuan, yang turut menerima Anugerah Kontraktor Muda Cemerlang berkata kejayaan itu membuktikan syarikat dan bakat Malaysia mampu melaksanakan projek infrastruktur bertaraf dunia.

Katanya, teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) bukan untuk menggantikan manusia tetapi alat untuk membina dengan lebih cekap, pantas dan selamat.

“Projek Landasan Berkembar Berelektrik Gemas–Johor Bahru sepanjang 192 kilometer telah mewujudkan lebih 35,000 peluang pekerjaan dan mencatat lebih 28 juta jam kerja selamat tanpa kehilangan masa akibat kecederaan.

“Pengajaran terbesar ialah kontraktor dan industri perunding Malaysia mempunyai banyak kemahiran. Kita mampu membina mengikut jangkaan bertaraf dunia dengan selamat dan berkualiti,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini