Kerajaan rujuk CIDB, DOSM dapatkan data sebenar kenaikan kos bahan binaan

Kerajaan rujuk CIDB, DOSM dapatkan data sebenar kenaikan kos bahan binaan

AHMAD Maslan (tujuh dari kanan) meninjau perkembangan projek pembangunan Pusat Aktiviti Setia Perdana, Presint 10, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mendapatkan data sebenar kenaikan kos bahan binaan di pasaran termasuk menentukan peratus peningkatan yang tepat dengan merujuk kepada data rasmi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, pihaknya telah menghubungi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi memperoleh peratusan kenaikan bahan binaan yang sebenar.

Beliau berkata, DOSM mempunyai angka, kaedah pengiraan serta kadar inflasi yang diumumkan secara berkala dan bersifat saintifik serta boleh dipercayai, bukan sekadar anggaran.

“Sebab persatuan kontraktor ada yang melapor bahawa kenaikan bahan binaan ada yang mencecah 30 peratus malah, ada persatuan kontraktor lain kata 40 peratus, saya kira itu angka yang tidak tepat.

“Jadi kita ingin mengetahui, katalah dalam satu bangunan ada 50 item, kita nak tahulah dalam 50 item itu apa yang terjejas,” katanya demikian ditemui selepas melawat tapak projek Pusat Akriviti Setia Perdana di Presint 10, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pihaknya turut menerima keluhan daripada kontraktor pembinaan jalan raya yang kini terkesan dengan kenaikan harga minyak diesel.

“Bagi projek pembinaan jalan raya pula, ada kontraktor melaporkan kenaikan harga diesel memberi beban besar kepada mereka.

“Kontraktor melapor pada saya bahawa kenaikan diesel sangat membebankan sebab segala kenderaan yang mereka gunakan yang semuanya memerlukan diesel,” katanya.

Katanya, kenaikan harga diesel memberi tekanan besar kepada kos operasi kontraktor jalan raya memandangkan penggunaan jentera berat seperti lori, jentolak dan mesin penggelek yang bergantung kepada bahan api tersebut.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, hanya empat peratus daripada 855 projek di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) di seluruh negara ketika ini diklasifikasikan sebagai projek sakit.

Katanya, keadaan itu lazimnya berpunca daripada kelewatan kemajuan kerja oleh kontraktor yang dilantik, khususnya melibatkan aspek pengurusan projek dan kewangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN