HULU LANGAT: Pendapatan penjaja dan peniaga kecil akan dinilai berdasarkan perbandingan diperoleh mereka pada tiga tahun lalu bertujuan mengukur keberkesanan bantuan kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup golongan berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penilaian itu penting bagi mengenal pasti sejauh mana bantuan dan peruntukan yang disalurkan kerajaan berjaya meningkatkan pendapatan serta memperbaiki kehidupan penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara.
Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong bekerjasama dengan persatuan penjaja dan peniaga kecil untuk mendapatkan maklumat mengenai purata peningkatan pendapatan golongan berkenaan.
“Kerjasama itu juga perlu mengenal pasti sebarang kelemahan dalam langkah bantuan sedia ada supaya penambahbaikan dapat dilakukan bagi memastikan sokongan kerajaan memberi kesan yang lebih ketara kepada golongan sasaran.
“Paling penting saya mahu tahu berapakah purata pendapatan penjaja dan peniaga kecil tiga tahun lalu berbanding tahun ini. Berapa banyak peningkatannya? Inilah cara kita menilai usaha yang dilaksanakan,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2026 di Stadium Kajang di sini semalam.
Anwar turut meminta Steven Sim bekerjasama dengan persatuan berkaitan bagi mengenal pasti tahap peningkatan pendapatan serta kelemahan yang masih perlu ditangani.
Katanya, ini kerana keberkesanan bantuan kerajaan juga perlu dinilai berdasarkan peningkatan pendapatan peniaga, termasuk perbandingan purata pendapatan mereka dalam tempoh tiga tahun lalu dengan tahun ini.
“Mungkin Steven Sim boleh kerjasama dengan persatuan. Saya hendak tahu berapa banyak. Ambil purata pendapatan peniaga tiga tahun lalu dengan tahun ini. Berapa peningkatannya? Ini cara kita buat penilaian. Apa kelemahan dia, apa kekurangan dia.
“Kerana bagi saya, kalau kita dapat bantu peniaga dan peniaga kecil ini, dia akan bantu satu juta keluarga dalam negara kita,” katanya.
Anwar dalam pada itu turut mengumumkan sebanyak RM 1 juta peruntukan tambahan untuk membantu persatuan penjaja dan peniaga kecil di negara ini.
Beliau berkata, saluran dana tambahan itu akan dapat meningkatkan pendapatan golongan penjaja dan peniaga kecil setiap tahun sebagai penilaian ke atas prestasi mereka.
Katanya, golongan itu perlu terus dibantu memandangkan sumbangan mereka dalam menjana ekonomi negara dan bukan sekadar menjalankan perniagaan berskala kecil.
“Bagi saya, kalau kita dapat bantu penjaja dan peniaga kecil, dia akan bantu sejuta lagi ahli keluarga lain negara kita. Justeru atur (peruntukan RM1 juta) baik-baik bantu supaya setiap tahun ada peningkatan,” katanya.-UTUSAN.











