LONDON: Bintang berbasikal Slovenia, Tadej Pogacar mengakui bersyukur masih bernyawa selepas nahas ngeri di Vuelta a Espana, Ogos lalu, yang bukan sahaja memusnahkan impiannya menjuarai Grand Tour itu, malah menyebabkan kecederaan lebih serius.
Pelumba berusia 28 tahun itu mendedahkan pemeriksaan imbasan terkini mengesahkan tiga tulang belakangnya patah, masing-masing pada bahagian C7, T1 dan T2, selain mengalami patah tulang selangka serta gegaran otak yang teruk.
“Saya sebenarnya gembira masih hidup, malah bersyukur masih mampu berdiri selepas mengetahui terdapat tiga tulang belakang yang patah.
“Ketika itu, saya turut bersyukur tidak menyertai Kejohanan Eropah kerana ia antara sasaran awal saya selepas Vuelta,” katanya dalam temu bual bersama The Athletic.
Juara Tour de France lima kali itu turut mendedahkan tempoh selepas pembedahan di Barcelona menjadi antara fasa paling sukar dalam hidupnya apabila terpaksa bergantung kepada bantuan doktor pasukan untuk melakukan perkara asas, selain berdepan tekanan emosi sehingga mengalami kemurungan selama dua minggu.
“Untuk dua minggu pertama, keadaan mental saya benar-benar tidak baik dan saya sangat tertekan, malah bukan seorang yang menyeronokkan untuk berada bersama ketika itu.
“Apabila mula menjalani latihan menggunakan basikal statik dan menghadiri fisioterapi setiap hari, saya mula berasa lebih baik, tetapi ia tetap perjuangan dari sehari ke sehari,” katanya.
Pogacar kini semakin pulih dan tidak lagi mengalami ketidakselesaan, namun mengakui masih perlu berhati-hati ketika berbasikal serta mengelakkan aktiviti mengangkat beban berat menggunakan lengan kiri dan leher kerana bimbang kesan jika kembali terlibat dalam kemalangan.
Insiden itu turut menguatkan kebimbangannya terhadap aspek keselamatan perlumbaan apabila beliau menyifatkan kemalangan membabitkan pelumba semakin kerap berlaku, khususnya dalam kalangan pelumba bawah 23 tahun akibat protokol keselamatan, kawalan jalan dan pengurusan perlumbaan yang tidak setanding kejohanan bertaraf Jelajah Dunia.











