Dakwaan 2,000 ahli keluar Warisan tidak berasas

Dakwaan 2,000 ahli keluar Warisan tidak berasas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) menafikan dakwaan tular 2,000 ahlinya daripada 38 cawangan di Kudat keluar parti seperti yang didakwa beberapa bekas ahli bahagian berkenaan.

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto S. Padua Jr, berkata semakan bersama Ketua Bahagian dan Setiausaha Bahagian Kudat mendapati dakwaan itu tidak dapat disahkan serta tidak menggambarkan kedudukan sebenar keahlian dan organisasi parti di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mencabar pihak yang membuat dakwaan berkenaan supaya mengemukakan bukti jelas, termasuk senarai ahli dan cawangan yang dikatakan meninggalkan parti.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dakwaan melibatkan 2,000 ahli dan 38 cawangan bukanlah perkara kecil. Mereka yang membuat dakwaan tersebut bertanggungjawab mengemukakan bukti yang jelas, termasuk senarai ahli dan cawangan yang dikatakan telah meninggalkan parti.

“Keluar parti adalah hak individu, tetapi mendakwa membawa keluar ribuan ahli memerlukan bukti, bukan sekadar kenyataan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Loretto berkata, berdasarkan maklumat diterima, mesyuarat cawangan yang diadakan baru-baru ini oleh pihak berkenaan gagal menghimpunkan 50 ahli.

Katanya, keadaan itu menimbulkan persoalan munasabah mengenai asas dakwaan bahawa mereka mendapat sokongan sehingga 2,000 ahli.

Beliau berkata, pihaknya namun menghormati hak mana-mana individu untuk meninggalkan parti dan menentukan haluan politik masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu tidak memberikan hak kepada sesiapa untuk membuat dakwaan tanpa bukti sehingga boleh mengelirukan masyarakat.

“Warisan Bahagian Kudat akan terus berfungsi seperti biasa. Perubahan dalam barisan kepimpinan tidak bermakna struktur organisasi atau sokongan keahlian parti turut terjejas sebagaimana yang cuba digambarkan,” katanya.

Loretto berkata, parti itu yakin kepimpinan baharu Bahagian Kudat mampu memperkukuh organisasi, menyatukan ahli serta memastikan pentadbiran bahagian berjalan lebih teratur dan harmoni.

Katanya, tumpuan parti ketika ini adalah memperkukuh jentera parti, mendekati rakyat dan meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Kita tidak akan terganggu dengan dakwaan yang tidak berasas. Kekuatan sesebuah parti tidak ditentukan oleh angka yang diumumkan dalam sidang media, tetapi oleh keutuhan organisasi, komitmen ahli dan kepercayaan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini