AYER KEROH: Penyakit tidak berjangkit (NCD) membebankan ekonomi negara sehingga RM64.2 bilion setahun dengan sebahagian besar kerugian berpunca daripada kehilangan produktiviti rakyat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sebanyak RM51.8 bilion atau 80.69 peratus daripada jumlah itu melibatkan kehilangan produktiviti akibat ketidakhadiran bekerja, kemerosotan prestasi ketika bekerja dan kematian pramatang.
Beliau berkata, baki RM12.4 bilion pula merupakan kos yang dibelanjakan untuk rawatan penyakit berkenaan.
“Pandemik senyap penyakit tidak berjangkit ini membebankan ekonomi negara kita sehingga RM64.2 bilion setahun.
“Daripada jumlah itu, RM51.8 bilion (80.69 peratus) hangus kerana rakyat hilang produktiviti, manakala RM12.4 bilion lagi dihabiskan untuk kos rawatan,” katanya dalam sidang media pada Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Kebangsaan 2026, di sini.
Menurut Dzulkefly, beban ekonomi itu antara sebab Kementerian Kesihatan (KKM) mahu mengubah pendekatan sistem kesihatan negara daripada hanya merawat pesakit kepada usaha mencegah penyakit dan memastikan rakyat kekal sihat.
Katanya, dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan 54.4 peratus orang dewasa berdepan masalah berat badan berlebihan dan obesiti, manakala 49.9 peratus tidak aktif secara fizikal.
Selain itu, sebanyak 95.1 peratus rakyat Malaysia tidak mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan dalam kuantiti mencukupi setiap hari.
Beliau berkata, meskipun tahap literasi kesihatan rakyat semakin meningkat menerusi pelaksanaan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), cabaran utama adalah memastikan kesedaran itu diterjemahkan kepada perubahan tingkah laku.
“Cabaran sebenar yang kita hadapi di lapangan sekarang adalah satu simptom yang saya panggil ‘tahu, tetapi tidak buat’.
“Untuk mengubah keadaan itu, KKM tidak boleh lagi sekadar memberi ceramah. Kita perlukan pendekatan baharu menerusi behavioural insights atau pemahaman tingkah laku,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, KKM memperkenalkan pendekatan nudging bagi membentuk persekitaran yang mendorong rakyat membuat pilihan lebih sihat dalam kehidupan seharian.
Beliau berkata, usaha itu turut disokong pembangunan 38 fasiliti Wellness Hub yang beroperasi di seluruh negara dan telah memberi manfaat kepada hampir dua juta rakyat.
Katanya, pusat rujukan kesejahteraan komuniti itu menyediakan perkhidmatan pengurusan berat badan menerusi program IFitEr, bantuan berhenti merokok, saringan minda sihat, modul Kekal Aktif serta terapi senaman.
“Dua buah Wellness Hub terletak di Melaka, iaitu di Alor Gajah dan Melaka Tengah,” katanya. – UTUSAN











