KULAI: Semua parti politik, calon yang bertanding dan penyokong parti diingatkan tidak mengeluarkan sebarang bahan yang menyentuh isu 3R (agama, kaum, dan raja) sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bermula semalam.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memperkukuh pemantauan terhadap kandungan dalam talian sepanjang tempoh PRN Melaka kali ini.
Beliau berkata, pemantauan itu akan dilaksanakan secara berterusan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama dalam menangani kandungan yang berpotensi mencetuskan ketegangan bagi memastikan kempen berlangsung secara aman.
Jelasnya, walaupun berlaku pertikaman lidah atau pergeseran semasa kempen, semua pihak digesa agar menjalankan kempen yang sihat dan mengelakkan isu-isu sensitif tersebut.
“Saya hendak galakkan semua parti politik yang terlibat, semua calon yang terlibat dan juga penyokong-penyokong mereka , janganlah kemukakan apa-apa bahan yang menyentuh isu-isu 3R.
“Biarlah kita mengadakan satu kempen yang sihat. Memang kita tidak boleh elakkan semasa kempen mungkin ada exchange of fires tetapi biarlah kita laksanakan, jalankan satu kempen pilihan raya yang sihat dan biarlah kita elakkan isu 3R,” katanya kepada pemberita selepas program Serahan Sumbangan Deepavali DUN Bukit Permai di Kuil Arulmigu Mariamman, di sini hari ini. – UTUSAN











