Permata mahkota Romanov bernilai £1.5 juta bakal dilelong - Utusan Malaysia

Permata mahkota Romanov bernilai £1.5 juta bakal dilelong

SEBUTIR berlian dikaitkan dengan raja terakhir Russia akan dilelong. - Sotheby’s Press Association
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Sebutir batu permata bernilai tinggi yang dikaitkan dengan dinasti diraja terakhir Russia bakal dilelong dengan nilai anggaran mencecah £1.5 juta (RM8.1 juta) di Geneva, Switzerland, 11 November ini.

Batu permata yang dikenali sebagai Romanov Sapphire itu merupakan nilam Ceylon seberat 197.80 karat yang tidak pernah dirawat secara haba dan mempunyai rekod sejarah terdokumentasi bersama istana imperialis Russia.

Dinasti Romanov merupakan dinasti imperialis terakhir yang memerintah Russia dari tahun 1613 sehinggalah tercetusnya Revolusi Februari pada tahun 1917.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebagian besar batu permata milik mahkota diraja Russia telah dijual oleh kerajaan Soviet kepada pihak Barat antara tahun 1927 hingga 1936, menjadikan barang kemas yang masih boleh dikenalpasti sangat terhad.

Permata nilam ini pernah dipakai oleh Permaisuri Maria Feodorovna semasa Majlis Tari-Menari Istana Musim Sejuk pada tahun 1903. Ia merupakan sebuah acara yang dianggap sebagai tontonan agung terakhir zaman kegemilangan Russia.

Anakanda kepada Maria iaitu Tsar Nicholas II merupakan pemerintah terakhir Russia sebelum beliau dan keluarganya dihukum bunuh oleh pihak re­volusioner pada tahun 1917.

Batu permata bersejarah ini kemudian dibeli oleh seorang usahawan sosialit merangkap penyanyi, Ganna Walska, daripada pihak Soviet pada tahun 1927.

Walska, yang terkenal dengan gaya hidup mewah dan koleksi perhiasan berharga, telah menjual sebahagian besar koleksinya bagi membiayai pembinaan taman di kediamannya di California yang kini diiktiraf sebagai antara taman terbaik di dunia.

Koleksi perhiasan Walska sebelum ini pernah menarik minat syarikat barang kemas terkemuka dunia seperti Harry Winston dan Van Cleef & Arpels.

Selain permata nilam Romanov, acara lelongan di dewan lelongan Sotheby’s ini turut menampilkan tiara opal hitam Devonshire rekaan Cartier yang dijangka mampu meraih hasil jualan sehingga £998,000 (RM5.4 juta).– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini