PETALING JAYA: Membawa anak kecil berjalan jauh bukan sekadar soal menentukan destinasi, sebaliknya ibu bapa perlu memastikan setiap perjalanan berlangsung dengan selamat, selesa dan mudah diuruskan.
Melihat keperluan keluarga moden yang semakin mengutamakan kemudahan ketika bergerak, jenama gaya hidup aktif dari Sweden, Thule memperluaskan rangkaian produknya dengan memberi tumpuan kepada ekosistem perjalanan keluarga.
Pengurus Kategori Rak Basikal Thule, Mikael Osterling berkata, syarikat itu mahu terus memperkenalkan lebih banyak produk gaya hidup bagi memenuhi keperluan pengguna di Malaysia yang sudah menjadi sebahagian daripada pasaran mereka selama 26 tahun.
“Kami akan terus meluaskan rangkaian cawangan peruncitan, memperkenalkan lebih banyak produk dan kategori baharu daripada Thule.
“Merentasi pelbagai kategori, kami juga mahu merangkumi lebih banyak produk gaya hidup,” katanya ketika ditemui pada Thule Expo 2026 baru-baru ini.
Antara langkah yang diambil ialah memperkenalkan kategori kerusi keselamatan kanak-kanak buat pertama kali, sekali gus melengkapkan pilihan produk perjalanan keluarga yang ditawarkan jenama berkenaan.
Tiga model diperkenalkan iaitu Thule Maple untuk bayi baru lahir, Thule Elm yang mempunyai ciri putaran 360 darjah serta Thule Palm bagi kanak-kanak lebih besar, dengan harga bermula RM1,790.
Mikael berkata, ketiga-tiga model berkenaan sudah mendapat kelulusan penuh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), manakala stok produk turut tersedia untuk pasaran tempatan.
“Bagi kerusi keselamatan kanak-kanak ini, semuanya sudah diluluskan sepenuhnya oleh JPJ dan semua proses kelulusan telah lengkap.
“Produk ini juga sudah tersedia dan kami bekerjasama dengan kedai barangan bayi serta jenama automotif seperti Perodua, Volvo dan Subaru,” katanya.
Selain kerusi keselamatan, Thule turut memberi perhatian kepada kemudahan pergerakan keluarga menerusi gabungan produk yang serasi, termasuk kereta sorong bayi bagi memudahkan peralihan anak dari kenderaan ke aktiviti di luar.
Menurut Mikael, pendekatan itu turut disokong strategi memperkukuh rangkaian pengedaran dan pengalaman pelanggan, selain menawarkan nilai produk yang membolehkan peruncit mengekalkan margin keuntungan tanpa terlalu bergantung kepada potongan harga.
“Kami menyediakan lebih banyak nilai tambahan dan pengalaman yang lebih baik untuk pelanggan, supaya peruncit dapat mengekalkan margin keuntungan tanpa perlu bergantung kepada potongan harga.
“Kami mahu pelanggan mendapat pengalaman lebih baik menerusi produk dan perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Thule menyasarkan jualan sekurang-kurangnya enam angka dalam Ringgit Malaysia bagi produk baharu menjelang akhir tahun ini, selain merancang membuka cawangan runcit baharu di Lembah Klang pada tahun hadapan.
Syarikat itu turut meninjau peluang untuk memperluaskan kehadiran ke wilayah selatan, namun perancangan berkenaan masih di peringkat penelitian. – UTUSAN











