Setiap ruang kediaman mempunyai potensi tersendiri untuk diterjemahkan menjadi persekitaran yang lebih menarik, selesa dan berfungsi mengikut keperluan penghuninya.
Idea itu diketengahkan menerusi Interval dan Oasis, pada Homedec KL 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Interval membawa konsep A Home, Experienced in Layers dengan menggabungkan elemen ruang, cahaya, bahan dan bunyi bagi memperlihatkan bagaimana setiap unsur saling melengkapi dalam membentuk pengalaman berada di dalam rumah.
Sementara itu, Oasis memberi tumpuan kepada ruang luar dengan mengetengahkan idea menjadikan kawasan terbuka sebagai sebahagian daripada kediaman yang lebih selesa, praktikal dan berfungsi mengikut keperluan keluarga.
Kedua-dua konsep itu merupakan antara tarikan utama Homedec Showhomes yang memberi peluang kepada pengunjung melihat sendiri pendekatan berbeza dalam merancang dan memanfaatkan ruang kediaman.
Pameran bertemakan Jom Renovate! itu menampilkan lebih 1,100 reruai di lapan dewan dengan melibatkan lebih 350 syarikat berkaitan kelengkapan kediaman, reka bentuk dalaman dan penyelesaian pengubahsuaian.
Presiden CIS Network Sdn. Bhd., Datuk Vincent Lim berkata, pameran tahun ini memberi penekanan lebih besar terhadap pendidikan pemilikan rumah dan akses kepada kepakaran profesional.
“Langkah ini bagi membantu rakyat Malaysia membuat keputusan lebih tepat, sama ada untuk melengkapkan kediaman baharu atau memperbaharui ruang sedia ada,” katanya.
Selain itu, Architects’ Pavilion menyediakan ruang interaksi bersama arkitek bertauliah untuk membincangkan penggunaan ruang, perancangan keperluan masa depan dan aspek yang perlu dipertimbangkan sebelum membuat keputusan reka bentuk.
Sejak diperkenalkan pada 2003, pameran ini dilaporkan membantu lebih empat juta pemilik rumah dan melibatkan 20,000 pempamer.











