ALOR GAJAH: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh tidak memandang rendah calon muda Pakatan Harapan (PH), Yunazri Mustamiri dalam saingan satu lawan satu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.
Sebaliknya, Ab. Rauf berkata, penyertaan golongan muda dalam arena politik dan pentas demokrasi perlu dialu-alukan, namun pengalaman tetap memainkan peranan penting dalam menentukan keupayaan seseorang pemimpin menguruskan masyarakat daripada pelbagai lapisan.
Menurut beliau, politik bukan semata-mata mengenai usia kerana calon muda dan lebih berpengalaman masing-masing mempunyai peranan, tetapi tugas memimpin memerlukan kefahaman mendalam terhadap keperluan rakyat serta keupayaan menguruskan pelbagai golongan.
“Dalam pentas demokrasi di Melaka ini, kita mengalu-alukan calon muda ataupun tua, tetapi dalam urusan menguruskan masyarakat, pengalaman juga menjadi panduan untuk mengukur kecekapan kita menguruskan masyarakat.
“Bukan orang muda tidak boleh, tetapi orang muda mesti ada pengalaman yang baik supaya kita dapat menguruskan masyarakat daripada pelbagai lapisan umur, daripada orang muda sehinggalah warga emas,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon (PPC) sempena PRN Melaka di Dewan Datuk Kapt. (B) Haji Ab. Karim, Japerun Tanjung Bidara di sini hari ini.
Ab. Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka mempertahankan kerusi DUN Tanjung Bidara dan akan berdepan Yunazri, yang juga Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Masjid Tanah.
Mengulas lanjut, Ab. Rauf berkata, sebuah pentadbiran yang baik memerlukan keseimbangan antara pengalaman, kecekapan dan kemampuan untuk memahami kehendak rakyat.
Katanya, seseorang pemimpin perlu berupaya menguruskan masyarakat secara menyeluruh tanpa mengira kelompok umur, latar belakang atau kedudukan mereka.
Jelasnya, kalau mahu menuju kepada pentadbiran yang baik, ia mesti menggabungkan antara pengalaman dan juga kecekapan kita menguruskan masyarakat.
“Saya mengalu-alukan orang muda supaya mereka dapat menimba pengalaman yang lebih baik. Tidak salah orang muda bertanding, tetapi jangan salah pilih,” katanya.
Beliau berkata, golongan muda mempunyai ruang yang luas untuk membuktikan kemampuan dalam politik, namun pengalaman yang dikumpulkan daripada penglibatan secara langsung bersama masyarakat penting dalam membentuk seseorang pemimpin yang lebih matang.
Dalam masa sama, Ab. Rauf berkata, beliau menghormati proses demokrasi yang memberi ruang kepada sesiapa sahaja yang layak untuk menawarkan diri kepada rakyat.
Katanya, rakyat akhirnya mempunyai kuasa untuk menentukan calon yang diyakini mampu membawa suara dan kepentingan mereka ke peringkat DUN.
Sementara itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atas kelancaran proses penamaan calon bagi DUN Tanjung Bidara.
Beliau berkata, urusan pendaftaran serta penyerahan borang pencalonan berjalan secara teratur dan pantas.
Dalam nada berseloroh, beliau turut menggunakan nombor calonnya sebagai mesej kempen kepada pengundi di kawasan berkenaan.
“Kalau tuan pergi utara, tengok mencari sarang tempua. Saya calon Tanjung Bidara, silalah undi nombor dua,” katanya sambil disambut sorakan dan laungan penyokong. -UTUSAN











