“Dialog dengan pemimpin masyarakat dan penduduk kampung secara kerap adalah pendekatan berkesan yang saya lakukan untuk mengetahui permasalahan mereka hadapi.
“Pendekatan itu juga memudahkan tindakan untuk mencari penyelesaian apa yang mereka suarakan kepada kerajaan,” kata Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Beliau yang menjadi wakil rakyat Tuaran selama lima penggal itu tidak kekok dan bosan dengan suara penduduk diwakilinya sepanjang tempoh perkhidmatannya di kawasan itu.
Madius mengakui masih banyak perlu dilakukan dan dilaksanakan untuk Tuaran. Namun semua itu tidak mampu dizahirkan sekelip mata, sebaliknya memerlukan waktu panjang, perancangan dan ketelitian memandangkan kawasan Tuaran adalah luas.
Parlimen Tuaran merangkumi empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kiulu, Tamparuli, Sulaman dan Pantai Dalit, masing-masing mempunyai bentuk muka bumi berbeza.
Kiulu dan Tamparuli memilik bentuk muka bumi bercampur iaitu rata dan berbukit, manakala Sulaman dan Pantai Dalit pula di kawasan pantai yang panjang dan luas.
“Kawasan Kiulu dan Tamparuli menjadi tumpuan saya dalam membawa pelbagai projek pembangunan seperti jalan raya, jambatan, kemudahan air, elektirk, pendidikan, sukan dan telekomunaksi memandangkan dua kawasan itu masih banyak ketinggalan.

Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (Madius Tangau)
Tarikh lahir: 13 Mac 1958 (68 tahun pada 2026)
Asal: Kampung Lokos, Kiulu, Tuaran, Sabah
Anak keempat daripada 14 orang beradik
Isteri: Datin Dr Jaina Sintian.
Pendidikan:
Sekolah Rendah Kebangsaan Lokos Kiulu, Tuaran, Sabah
Sekolah Menengah Kebangsaan Kiulu
Sekolah Menengah Kebangsaan Ranau
Setapak High School, Kuala Lumpur, Sekolah Menengah Sains Selangor, Cheras Peringkat prauniversiti
Universiti Pertanian Malaysia (UPM)
Ijazah Sarjana Muda Sains Perhutanan 1983 Asian Institute of Management (AIM),
Manila, Filipina
Sarjana Pengurusan Pembangunan
Jawatan:
Ketua Penerangan UPKO 2000-2002
Setiausaha Agung UPKO,
Timbalan Presiden UPKO
Presiden UPKO 2018 hingga Januari 2023
Presiden Kehormat UPKO Malaysia.
Ahli Parlimen P.170 Tuaran 1999-2026
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia Julai 2015-Mei 2018
Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah Mei 2018-September 2020
– Ahli Dewan Undangan Negeri N.14 Tamparuli sejak November 2025
Pengerusi Kumpulan POIC Sabah Sdn. Bhd. dilantik Disember 2025
“Sulaman dan Pantai Dalit pula rancak membangun memandangkan berada dalam kawasan kemudahan perindustran seperti Taman Perindustran Kota Kinabalu (KKIP), Pan Borneo dan tidak jauh dari pusat bandar Kota Kinabalu,” katanya.
Madius berkata, sungguhpun begitu, Sulaman dan Pantai Dalit tidak boleh dipinggirkan dari penyediaan kemudahan asas penting seperti daerah lain dengan dua kawasan itu perlu diberikan perhatian sama rata oleh kerajaan.

“Sebab itu saya sentiasa meluangkan masa melawat serta mendekati penduduk empat kawasan DUN dalam Tuaran itu sebagai tindakan adil kepada kawasan berkenaan,” katanya.
Menurut beliau, sesi libat urus membabitkan pejabat daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Tuaran, kontraktor, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), pusat khidmat rakyat Tuaran, pemimpin masyarakat, ketua kampung, Jawatankuasa Keselamatan Kemajuan Kampung (JKKK) dan penduduk dapat memastikan rancangan kerajaan sampai kepada sasaran dengan berkesan.

“Sesi dialog penting untuk mendengar secara langsung aduan, pandangan dan kebimbangan penduduk yang terkesan dengan pelaksanaan projek ini.
Mengenai isu pengambilan tanah penduduk terutama di Kiulu yang terbabit pelaksanaan projek pembangunan, beliau minta Pejabat Daerah Kecil Kiulu mengadakan sesi libat urus khas bersama penduduk kampung terbabit untuk mempercepatkan penyelesaian isu.
“Bagi tanah hak adat anak negeri (NCR), saya mencadangkan kaedah pengukuran menerusi sistem PANTAS dipertimbangkan kerana pendekatannya lebih mesra dan berpotensi mempercepatkan proses, tertakluk kepada prosedur serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
“Saya juga minta Pengerusi JKKK mengadakan mesyuarat mingguan membincangkan perkembangan projek, mengenal pasti punca kelewatan dan menyalurkan masalah kepada agensi berkenaan,” katanya.
Menurut beliau, pemantauan berterusan JKKK amat penting supaya setiap isu dapat ditangani lebih awal dan projek pembangunan dapat dilaksanakan mengikut ketetapan.
Katanya, penduduk berhak mendapat penjelasan jelas, kemajuan boleh diukur dan tindakan susulan yang konsisten demi memastikan kemudahan jalan raya dapat dinikmati secepat mungkin.-UTUSAN











