MELAKA: Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 berpotensi diperluaskan sehingga ke peringkat Persekutuan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkembangan positif itu dapat dilihat menerusi kesepaduan jentera kedua-dua parti yang bergerak bersama mengiringi calon masing-masing pada hari penamaan calon hari ini.
Beliau berkata, kerjasama itu bukan sahaja melibatkan kepimpinan tertinggi, malah turut memperlihatkan kesungguhan jentera di peringkat akar umbi.
“Saya melihat pagi ini amat meriah berbanding dengan Negeri Sembilan. Kita dapat lihat di semua DUN, baik yang dipertandingkan oleh calon Barisan Nasional mahupun Perikatan Nasional, penggemblengan dan penggabungan kedua-dua jentera amat terserlah.
“Wakil kepimpinan kedua-dua parti juga mewakili parti masing-masing bersama jentera mengiringi calon-calon ke tempat penamaan calon.
“Ini satu manifestasi keikhlasan dan kesungguhan bukan sekadar dalam kalangan kepimpinan tertinggi, tetapi juga di peringkat jentera,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Turut hadi, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Setiausaha PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan pemimpin-pemimpin Pas.
Beliau berkata, kerjasama itu turut mencerminkan hasrat rakyat yang mahu melihat kedua-dua parti berkenaan menjalinkan permuafakatan demi kepentingan bersama.
Katanya, kerjasama tersebut diharap dapat memberikan manfaat kepada rakyat serta membawa kemakmuran kepada negeri, sebelum diperluaskan ke peringkat lebih tinggi.
“Kalau kita lihat, rata-rata kami pemimpin ini mengikut kehendak rakyat bawahan.
“Mereka mahu melihat dua parti terbesar ini dapat bekerjasama dan bermuafakat yang akhirnya sudah tentu memberikan manfaat kepada rakyat dan kemakmuran negeri dan Insha-Allah sampai ke peringkat Persekutuan,” katanya. -UTUSAN











