SEPANG: Jorge Martin disahkan cergas untuk beraksi dalam perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia selepas pelumba Sepanyol itu berjaya mengharungi sesi latihan bebas pertama, semalam tanpa sebarang masalah, ketika pencabar kejuaraannya, Marc Marquez, mencatat masa terpantas.
Martin yang mewakili Aprilia tiba di Kuala Lumpur dengan kecederaan patah pergelangan tangan akibat kemalangan dalam perlumbaan pecut Grand Prix Australia minggu lalu.
Bagaimanapun, dia menamatkan sesi latihan pagi semalam dengan catatan 1.8 saat di belakang rakan senegaranya, Marquez yang mengungguli masa 1 minit 58.912 saat menggunakan jentera Ducati.
Martin yang mendapat kebenaran untuk menyertai sesi latihan pagi meskipun mengalami kecederaan itu, pada awalnya ketinggalan 3.9 saat daripada catatan terpantas sebelum memperbaiki prestasinya dalam sesi kedua dan ketiga untuk merekodkan masa 2 minit 0.747 saat.
Secara keseluruhan, pelumba berusia 28 tahun itu melengkapkan 12 pusingan.
Pelumba Itali, Marco Bezzecchi, yang ketinggalan 50 mata di belakang Marquez dalam kedudukan kejuaraan, mencatat masa 0.474 saat lebih perlahan berbanding pelumba Sepanyol itu untuk menduduki tempat kedua terpantas, bersama Pedro Acosta daripada pasukan Red Bull.
Martin yang ketinggalan 10 mata di belakang Marquez menjelang perlumbaan hujung minggu ini di Sepang, sebelum ini mengakui tangannya pasti bersimen jika dia tidak sedang bersaing merebut kejuaraan dunia. – AFP/UTUSAN











