GEORGE TOWN: Sambutan Deepavali minggu depan pastinya terasa amat berbeza buat P. Rubbani, 39, apabila dia terpaksa menyambut perayaan itu tanpa suami tercinta, M. Poobalan, 40, yang masih dilaporkan hilang dalam kejadian banjir dan tanah runtuh di Nepal, Ogos lalu.
Bagaimanapun, Rubbani berkata, dia tetap menyimpan harapan agar satu keajaiban berlaku dan suaminya segera ditemukan dalam keadaan selamat meskipun sehingga kini belum ada perkembangan baharu dari Nepal.
“Saya masih berharap agar keajaiban itu berlaku dan saya tidak pernah putus harapan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurut Rubbani, meskipun tanpa suami di sini, dia akan tetap akan menyambut Deepavali seperti tahun-tahun sebelumnya bersama keluarga di Pulau Pinang tanpa sebarang perancangan untuk mengadakan sambutan atau upacara khas.
Mengulas perkembangan terkini mengenai suaminya pula, Rubbani berkata, sehingga kini, masih tiada sebarang berita baharu dari Nepal.
Katanya, keadaan berkaitan urusan bank dan kewangan keluarga juga masih sama seperti sebelum ini tanpa sebarang perubahan yang ketara.
“Apapun, saya perlu terus kuat untuk membesarkan dua anak kami yang masing-masing berusia sembilan dan enam tahun,” kata wanita itu lagi.
Rubbani berkata, dia masih percaya suaminya akan kembali meskipun sudah hampir dua bulan keluarga mereka menunggu tanpa sebarang perkembangan.
“Saya sentiasa percaya dan amat berharap sangat agar suami akan kembali demi anak-anak terutamanya menjelang Deepavali ini. Apapun, saya perlu terus kuat demi anak-anak,” katanya.
Tambah Rubbani, kehilangan suaminya yang sebelum ini menjadi tonggak utama keluarga terutamanya dalam menguruskan bayaran bil-bil bulanan serta komitmen kewangan mereka juga sedikit sebanyak mengganggu kehidupan mereka sekeluarga.
Tragedi banjir besar dan aliran puing yang melanda kawasan sempadan Nepal-China pada 26 Ogos lalu itu mengakibatkan kemusnahan besar apabila aliran air deras membawa lumpur, batu dan serpihan merempuh kawasan penempatan serta laluan perhubungan.
Pada peringkat awal, seramai 55 rakyat Malaysia dilaporkan tidak dapat dihubungi selepas bencana berkenaan, namun seorang daripada mereka kemudian disahkan selamat dan pulang ke tanah air pada awal Oktober lalu.
Perkembangan itu menyaksikan 54 rakyat Malaysia masih belum dapat dikesan, manakala usaha mengesahkan status mereka diteruskan melalui kerjasama pihak berkuasa Malaysia dan Nepal.-UTUSAN











