Filem pendek ‘Salangai’ sarat dengan semangat perpaduan Malaysia - Utusan Malaysia

Filem pendek ‘Salangai’ sarat dengan semangat perpaduan Malaysia

BARISAN pelakon filem pendek bertajuk ‘Salangai’ sempena sambutan Deepavali.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Deepavali, Kementerian Perpaduan Negara menyajikan sebuah filem pendek bertajuk ‘Salangai’ iaitu sebuah karya sarat dengan makna, budaya dan semangat perpaduan sejati rakyat Malaysia.

Filem pendek itu ditayangkan secara rasmi di platform media sosial Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang selain turut disiarkan melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi TV 1 dan TV 2 serta mendapat liputan daripada Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) demi kesedaran awam untuk terus mengekalkan keharmonian dalam kepelbagaian di Malaysia.

‘Salangai’ bukan sekadar sebuah filem pendek, ia simbol kepada getaran budaya yang hidup, perasaan kasih mendalam dan kekuatan nilai harmoni dalam masyarakat majmuk Malaysia.

Makna dalam setiap langkah tarian yang mengangkat tarian klasik India, Bharatanatyam sebagai nadi penceritaan dan ‘Salangai’ juga menyoroti keindahan budaya Tamil yang berakar umbi dalam sejarah dan spiritualiti.

Dalam konteks ‘Salangai’, setiap getaran loceng bukan hanya bunyi semata-mata tetapi gema nilai kasih sayang, semangat kekeluargaan dan penghormatan antara kaum dalam sebuah negara berbilang bangsa seperti Malaysia.

Aaron Ago berkata, selari dengan gagasan Malaysia Madani yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, filem berkenaan membawa mesej jelas mengenai betapa pentingnya penerapan nilai-nilai Madani merentas bangsa, agama dan latar belakang.

Katanya, filem itu mengajak rakyat untuk melihat Deepavali sebagai sebuah perayaan yang menyatukan serta menyalakan harapan baru dalam hati setiap rakyat Malaysia.

Beliau berkata, usaha memperkukuh perpaduan nasional bukanlah tanggungjawab satu pihak sahaja, tetapi perlu dipikul bersama sebagai satu keluarga besar Malaysia.

“Semoga cahaya Deepavali terus menyinari setiap rumah dan hati rakyat Malaysia dengan harapan baharu, kasih sayang dan semangat untuk terus bersatu sebagai satu keluarga besar Malaysia Madani.

“Kementerian Perpaduan juga mengucapkan selamat menyambut Deepavali kepada seluruh rakyat Malaysia dan semoga sinar Deepavali menerangi jalan kita ke arah negara yang lebih bersatu, harmoni dan penuh dengan kasih sayang,” katanya.

Filem pendek berkenaan dibintangi Dhakshayni Jegatheeswaran selaku teraju utama bersama Menaka Sinnaia dan Muthukaruppan V. Mariappan. Antara barisan pelakon lain seperti Nicole Wong Jing Wen, Ahmad Izzulfaiq, Danial Dashuki, Aiman Rahman, Tiara Suraya dan pelakon iklan terkenal Izhar Hussin.

Keunikan filem tersebut turut terserlah dengan penampilan istimewa pelakon cilik, Aryan Rizqullah yang membawa watak anak kepada pasangan yang dilakonkan oleh Danial dan Tiara.

Turut mencuri tumpuan ialah Syaafiq atau lebih dikenali sebagai Syafiq Leggo iaitu pempengaruh media sosial yang membawa peranan penting dalam menyampaikan mesej perpaduan dan semangat Deepavali.

Ia boleh diikuti di laman sosial instagram Aaron Ago di https://www.instagram.com/reel/DPtXXRPAbL3/?igsh=eHQ4Z215N3FoOXoy.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN