Bapa enggan terima bekas isteri

Bapa enggan terima bekas isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Membina rumah tangga bukan sekadar berkongsi kebahagiaan ketika senang, tetapi tentang bagaimana saling bertahan ketika kesusahan datang menguji.

Ada yang memilih untuk terus setia, mencari jalan keluar dan terus pergi.

Begitulah kisah dikongsi minggu ini, seorang suami dan bapa, Zaki (bukan nama sebenar) yang pernah membina rumah tangga dengan harapan untuk bersama sehingga ke akhir hayat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun ketika diri diuji dengan kesempitan hidup, isteri yang dicintai memilih untuk pergi dan meninggalkannya bersama dua anak yang masih kecil.

Selepas 15 tahun ketika kehidupan mula teratur dan anak-anak semakin dewasa ibu kembali merayu untuk diterima dalam kehidupan mereka.

Walaupun ibu kembali dengan harapan, bapa membuat keputusan untuk memaafkan tetapi tidak menerimanya sebagai pasangan hidup.

Kisah Zaki dikongsikan anak sulungnya, Anessa (bukan nama sebenar) dalam pertemuan baru-baru ini.

Dia tidak berniat untuk membuka aib sesiapa, apatah lagi memburukkan arwah ibu yang telah meninggal dunia setahun lalu.

Kisah itu dikongsikan sebagai pengajaran tentang ujian dalam rumah tangga dan pengorbanan seorang bapa.

“Apabila ibu muncul kembali, perasaan saya bercampur-baur. Di satu sisi, saya merindui ibu yang pernah hilang daripada kehidupan.

“Di sisi lain, saya tidak mampu melupakan segala pengorbanan dan susah payah ayah membesarkan kami dua beradik,” ujarnya.

Sebagai anak, jauh di sudut hatinya berharap agar keluarganya dapat kembali seperti dahulu.

Namun dalam masa sama, dia sedar tidak berhak memaksa bapa menerima ibu kembali sebagai isteri.

“Ayah tidak pernah menghalang kami daripada mendekati ibu.

“Baginya hanya hubungan mereka suami isteri yang berakhir, tetapi hubungan anak dan ibu tidak pernah terputus.

“Ayah mungkin tidak mampu menerima ibu kembali dalam hidupnya, tetapi dia tidak pernah menutup pintu kasih sayang ibu daripada anak-anaknya,” ujarnya.

Bercerita lanjut , kata Anessa, sepanjang 15 tahun ini bapa tidak pernah memburukkan ibu mereka.

Bapa juga tidak pernah menjadikan anak-anak sebagai tempat melepaskan kemarahan selepas apa yang terjadi.

Sebaliknya, bapa memilih untuk berdiam diri dan terus menjalankan tanggungjawabnya.

Di situlah kata Aneesa, terserlah kebaikan hati bapanya.

Walaupun pernah terluka, bapanya memilih untuk memisahkan kekecewaan sebagai seorang suami daripada tanggungjawab sebagai bapa.

Menyingkap bagaimana ujian rumah tangga ibu bapa bermula, kata Aneesa, segalanya berlaku selepas kilang tempat kerja bapa gulung tikar.

Hilanglah sumber pendapatan yang selama itu menjadi sandaran untuk menanggung keluarga.

Bapa cuba mencari pekerjaan lain, namun usaha demi usaha tidak membuahkan hasil.

Hari berganti, beban kehidupan semakin terasa.

Hutang rumah, kenderaan tertunggak berbulan-bulan.

Kesusahan yang datang bertimpa-timpa mula menguji rumah tangga.

Sehinggalah pada suatu hari, ibunya memilih untuk pergi meninggalkan bapa dan mereka dua beradik.

Sejak hari itu, kehidupan mereka tiga beranak berubah sepenuhnya.

Bapa mengambil-alih segala urusan dan tanggungjawab rumah tangga.

Menyediakan makan, pakai dan keperluan persekolahannya dan adik, Shamsul (bukan nama sebenar).

Menurut Aneesa ketika itu usianya baru mencecah 12 tahun, manakala adiknya, 10 tahun.

“Ketika itu, kami belum mengerti apa yang berlaku dalam rumah tangga ibu bapa.

“Apa yang saya tahu, selepas ibu keluar rumah, ayah memikul dua tanggungjawab.

“Malah, ayah bekerja siang dan malam demi memastikan kami mendapat kehidupan dan pendidikan terbaik,” ujarnya.

Semakin dewasa, Anessa sedar di sebalik setiap perkara yang berlaku, ada pengorbanan yang tidak pernah diceritakan kepada mereka.

“Daripada ayah, saya banyak belajar yang seseorang boleh berasa kecewa, tanpa perlu menghina atau memburukkan seseorang,” ujarnya.

Baginya, itulah didikan yang paling besar daripada seorang bapa.

Ketika ibu mahu kembali ke dalam kehidupan mereka, kata Anessa, perkara itu sangat sukar diterima.

Dia tidak tahu bagaimana hendak berdepan dengan segala perasaan yang telah lama terpendam.

“Saya melihat pengorbanan ayah sejak kecil. Membesarkan saya dan adik seorang diri demi memastikan kami mempunyai masa depan.

“Apabila ibu mahu kembali, saya sukar menerimanya.

“Bagaimana saya dan adik mahu melupakan segala yang berlaku hanya dengan kehadiran ibu yang mengakui benar-benar menyesal,” ujarnya.

Menurut Anessa, ketika itu dia belum mampu membezakan antara masa lalu dengan peluang untuk membina hubungan yang lebih baik di masa hadapan.

“Ibu memang pernah membuat keputusan yang menyakitkan hati bapa dan anak-anak.

“Tetapi saya mula memahami setiap manusia tidak lepas daripada kesilapan dan peluang kedua perlu diberikan kepada yang benar-benar mahu berubah dan insaf,” ujarnya.

Kata Aneesa, untuk menerima ibu semula dalam hidup mereka tidak mudah.

Hampir berbulan-bulan lama, barulah hatinya kembali lembut menerima ibu.

Walaupun hatinya semakin lembut, penerimaan Shamsul untuk ibu pula berbeza.

Sehingga akhir hayat ibu, adiknya masih belum dapat menerima kepulangan wanita itu sepenuhnya.

“Dia membesar dengan pengalaman sama, tetapi menyimpan luka dengan cara berbeza.

“Mungkin ada perkara yang masih sukar untuk diterima. Mungkin juga ada persoalan yang belum terjawab,” katanya.

Namun, dia terpaksa membesar dengan ketiadaan insan yang sepatutnya di sisinya.

Apabila ibu kembali selepas 15 tahun, masa telah mengubah banyak perkara.

Mengakhiri perbualan lewat petang itu, kata Aneesa, daripada bapa, dia belajar sesuatu yang memaafkan seseorang bukan bererti melupakan segala luka yang pernah terjadi, tetapi untuk

memberi ketenangan kepada diri sendiri.

Sesungguhnya dalam Islam, Allah menjanjikan pahala bagi mereka yang memilih memaafkan dan berbuat baik kepada orang lain.

Sebagaimana firman Allah SWT “Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang setimpal, tetapi barang siapa memaafkan dan berbuat baik (kepada orang yang berbuat jahat) maka pahalanya dari Allah. Sungguh, Dia tidak menyukai orang-orang zalim.” – (Surah Asy-Syura:40)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini