Disisih selepas keluarga angkat dikurnia anak kandung

Disisih selepas keluarga angkat dikurnia anak kandung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap orang mempunyai jalan hidup dan ujian berbeza. Ada yang diuji dengan kesihatan, harta dan kehilangan orang tersayang.

Minggu ini saya kongsikan kisah Borhan, (bukan nama sebenar) yang kehilangan kedua ibu bapa seawal usia lima tahun.

Aturan Allah itu indah apabila dihadirkan sepasang suami isteri yang sanggup mengambilnya sebagai anak angkat. Borhan dibesarkan dengan penuh kasih sayang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun ujian hidupnya belum berakhir apabila keluarga yang menjadi tempatnya berlindung mula berubah.

Ini selepas ibu dan bapa angkatnya dikurniakan seorang anak kandung.

Borhan berkata, tujuannya berkongsi cerita bukan untuk membuka aib apatah lagi menyalahkan sesiapa.

Kedua-dua ibu bapa angkatnya juga telah lama meninggal dunia.

Apa yang ingin dikongsikan hanyalah untuk renungan dan pengajaran kepada sesiapa sahaja yang melalui ujian serupa.

Menyambung kisah, katanya, sejak kehadiran anak kandung, sedikit demi sedikit tempatnya dalam keluarga itu terasa semakin jauh.

Perhatian yang dahulu diberikan kepadanya mula beralih. Layanan juga tidak seperti dahulu.

Sepanjang tempoh membesar dia menyaksikan bagaimana sebuah rumah yang pernah dianggap syurga, perlahan-lahan membuatnya terasa seperti orang asing.

“Semakin adik membesar, semakin saya berasa diri tidak mendapat tempat yang sama di hati ibu bapa.

“Apa sahaja yang berlaku, saya diminta untuk memahami. Jika adik bergaduh, saya diminta untuk mengalah. Bahkan jika adik yang melakukan kesalahan, saya yang dihukum,’’ imbasnya.

Lama-kelamaan, dia belajar menyimpan perasaan seorang diri.

Menyingkap kisah lalu, menurut Borhan ketika berusia lima tahun, dia kehilangan ibu bapa kandungnya dalam satu kemalangan yang meragut nyawa mereka.

Selepas kemalangan itu, bapa angkatnya, Shamsudin (bukan nama sebenar) yang merupakan sahabat baik kepada arwah bapa mengambil keputusan untuk menjaganya.

Ketika itu, dia masih terlalu kecil untuk memahami kehilangan dua insan yang menjadi tempat bergantung.

Ibu bapa angkat tidak pernah membuatkan dia berasa seperti orang luar.

Dia dijaga seperti anak sendiri. Begitu juga dengan ibu angkatnya, Rahimah (bukan nama sebenar) yang melayannya dengan penuh kelembutan dan kasih sayang.

Dek kasih sayang yang diberikan itu perlahan-lahan dia berhenti menangisi kehilangan ibu bapa kandung.

Sehinggalah pada usianya sekitar sepuluh tahun, ibu bapa angkat mendapat berita yang selama ini mereka tunggu-tunggukan. Ibu mengandung.

“Saya antara orang paling gembira dan sejak hari itu, saya mula membayangkan kehidupan sebagai abang.

“Apabila adik lahir, kegembiraan lebih berganda kerana pada akhirnya saya mempunyai teman untuk bermain di rumah,” ujarnya.

Ketika itu, dia tidak tahu kehadiran Zafran (bukan nama sebenar) akan menjadi titik perubahan terbesar dalam hidupnya.

Sejak kehadiran adiknya, perhatian ibu bapa angkat kepadanya semakin berkurangan.

Dia cuba untuk tidak memikirkannya.

Memujuk hati mungkin dia terlalu sensitif. Perubahan layanan itu semakin jelas apabila dia menerima tawaran melanjutkan pengajian ke universiti.

Dia membayangkan ibu bapa angkatnya akan berbangga dan gembira. Namun, kegembiraan itu tidak bertahan lama.

“Ibu bapa angkat memberi alasan keadaan keluarga tidak mengizinkan dia melanjutkan pengajian. Wang yang ada pula perlu disimpan untuk pengajian adik pada masa akan datang.

“Ketika itu saya benar-benar kecewa dan sedih. Namun apa pilihan yang saya ada. Mana mungkin saya membantah keputusan orang yang menjaga saya sejak kecil,’’ ujarnya.

Dengan berat hati dia terpaksa melupakan impian melanjutkan pengajian dan meminta izin untuk berhijrah ke Kuala Lumpur.

“Ketika itu mereka tidak melarang, juga tidak berkata ya,’’ ujarnya.

Selepas keluar, dia membina kehidupannya sendiri.

Borhan mendapat pekerjaan di sebuah syarikat penghantar barang.

Pekerjaannya tidak mudah. Setiap hari keluar di awal pagi, menguruskan penghantaran , mengangkat barang dan pulang lewat malam.

Di sebalik kepenatan itu, dia mula menyusun hidupnya. Walaupun mempunyai kehidupan sendiri, Borhan memilih untuk tidak menyimpan dendam.

Dia masih mengingati kebaikan dan jasa keluarga angkatnya itu.

Setiap bulan, selepas menerima gaji, dia akan mengasingkan sejumlah wang dan mengirimkan ke kampung.

Dia juga kembali menyambung pengajian dengan menggunakan hasil penat lelahnya.

Akhirnya, selepas tiga tahun penuh cabaran, Borhan berjaya menamatkan pengajian.

Tidak lama selepas itu dia mendapat tawaran kerja di sebuah syarikat yang lebih baik dengan gaji sesuai kelayakan.

Tahun demi tahun berlalu. Sehinggalah beberapa tahun kemudian, pada pertengahan November 2023, Borhan mendapat berita bapa angkatnya sakit tenat di hospital.

Dia melupakan segala kecewa sementara dan terus pulang ke kampung.

Sepanjang dua minggu di hospital, Borhan mengambil cuti untuk menjaga dan menguruskan keperluan bapa angkat.

Zafran yang difahamkan sudah berkahwin hanya sekali sekala datang menziarah. Tidak lama selepas itu bapa angkat pergi buat selama-lamanya.

Belum sempat hati Borhan benar-benar pulih daripada kehilangan bapa angkat, dia dikejutkan pula dengan kematian ibu angkat.

Sebelum ibu bapa angkat meninggal, mereka sempat meminta maaf daripadanya.

Jujur kata Borhan, dia sudah benar-benar melepaskan rasa terluka dan kecewa yang dipendam bertahun-tahun lamanya.

Dia melihat jasa ibu bapa angkatnya jauh lebih besar daripada kesilapan yang pernah berlaku.

Banyak pengajaran yang boleh diambil daripada kisah Borhan dan keluarga angkatnya.

Walaupun pernah dikecewakan dan dipinggir, tetapi dia tetap memilih untuk terus berbuat baik dan memaafkan.

Dia tetap mengenang jasa, kasih sayang dan didikan ibu bapa angkatnya.

Dalam Islam, sesungguhnya kemaafan bukan tanda seseorang itu lemah, sebaliknya akhlak mulia untuk mendapatkan rahmat Allah.

Sebagaimana firman Allah SWT,“Terimalah apa yang mudah engkau lakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil.” (Al-A’raf:199)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN