Kisah wanita menanggung hutang bekas suami bukanlah sesuatu yang baharu.Ramai wanita menghadapi situasi di mana mereka terpaksa menanggung beban hutang yang ditinggalkan bekas suami selepas perceraian.
Situasi ini berlaku disebabkan beberapa faktor, antaranya pinjaman yang dibuat atas nama bersama, perjanjian kewangan semasa perkahwinan atau menjadi penjamin kepada hutang suami.
Paling menyakitkan, apabila ada wanita selepas bercerai, baharu menyedari bekas suami membuat pinjaman bank nama bersama, tanpa pengetahuan.
Apabila perkahwinan berakhir, bekas suami gagal membayar pinjaman tersebut, menyebabkan pihak bank menuntut pembayaran daripada bekas isteri.
Minggu ini saya kongsikan kisah Zarina, (bukan nama sebenar) wanita yang menjadi mangsa bekas suami lepas tangan dengan membiarkannya menanggung hutang pinjaman bank.
Zarina ditinggalkan dengan tanggungjawab untuk membayar hutang yang tidak dibuat dan di luar pengetahuannya.
Bercerita lanjut kata wanita berusia pertengahan 30an itu, menambah tekanan kepadanya apabila dia terpaksa memulakan kehidupan baharu bersama dua anak kembar berusia dua tahun ketika itu.
“Selepas bercerai, bekas suami enggan bekerjasama apalagi mahu bertanggungjawab.
“Bukan sahaja culas memberi nafkah kepada anak-anak, bahkan meninggalkan saya dengan beban hutang yang banyak,,” ujarnya.
Kata Zarina, ketika itu muncul pelbagai perasaan dalam dirinya, tertekan, cemas, marah dan hilang keyakinan diri.
Dia berasa ketidakadilan kerana terpaksa menanggung sendirian terutama hutang bekas suami.
“Sejujurnya saya kehilangan harapan untuk melangsaikan hutang tersebut. Bukan sedikit sebaliknya beratus-ratus ribu. Bekas suami pula langsung tidak ambil pusing,’’ ujarnya.
Mengimbas kembali saat indah pasangan ini membina rumahtangga, kata Zarina dia bertemu dengan Masrol, (bukan nama sebenar) pada Jun 2015 di sebuah majlis.
Masrol pada awalnya kelihatan sangat menyenangkan, baik dan pandai mengambil hati.
Dalam masa singkat, mereka jatuh cinta dan memutuskan untuk berkahwin.
Mula-mula berkahwin, segala-galanya nampak sempurna dan Zarina merasakan yang dialah wanita yang paling bertuah.
Masrol berjanji untuk menjaga dan melindungi Zarina, dan menunjukkan keprihatinan mendalam untuk sama-sama membina keluarga bahagia.
Memasuki bulan ketiga perkahwinan, sikap Masrol mula berubah.
Zarina mula mendengar cerita tidak sedap tentang Masrol yang suka berhutang dengan kenalan dan rakan perniagaan.
“Awalnya saya tidak ambil serius. Namun semakin hari, masalah kewangan mula muncul dalam perkahwinan kami.
“Situasi itu lebih ketara selepas saya bersalin anak sulung,” ujarnya lagi.
Menurut Zarina, bekas suami mula bercakap tentang masalah kewangan dan mula meminta bantuan daripadanya.
Pada mulanya hanya sejumlah kecil wang sahaja, tidak lama kemudian bekas suami memujuk untuk membuat pinjaman atas namanya.
Dia memberi alasan seperti ingin melabur dalam perniagaan baharu dan membayar hutang.
Pada mulanya, dia mempercayai Masrol dan membuat pinjaman kerana menganggap berkongsi tanggungjawab sebagai suami isteri.
Bekas suami menyakinnya bahawa apa yang dilakukan adalah untuk kebaikan bersama dan akan memastikan pinjaman, dibayar balik tepat pada masanya.
“Saya yang ketika itu mempercayainya, bersetuju membuat pinjaman atas nama saya.
“Namun, sebaik pinjaman itu diluluskan, bekas suami tidak pernah lekat di rumah. Setiap kali ditanya, alasan diberikan, ada projek baharu yang perlu diberi tumpuan,” cerita Zarina.
Setelah beberapa bulan, Zarina mula berasa ada sesuatu yang tidak kena.
Lama-kelamaan, hutang yang dibuat Masrol makin bertimbun.
Setiap bulan Zarina menerima surat tunggakan hutang daripada pihak bank .
Dia mula menyedari yang Masrol tidak pernah berusaha untuk membayarnya.
Tambah Zarina, apabila dia cuba bertanya dan mendesak untuk berterus terang, Masrol sering mengelakkan diri dan menunjukkan sikap dingin.
Masrol mula tidak pulang ke rumah berminggu-minggu, dan memberi pelbagai alasan.
“Mulanya saya menerima dan memaafkannya hanya kerana memikirkan anak-anak yang masih kecil ketika itu.
“Kesabaran saya sampai ke penghujungnya selepas saya mendapat tahu, saya bukanlah wanita pertama yang menjadi mangsanya,” ujar Zarina.
Rupa-rupa bekas suaminya sebelum ini pernah berkahwin dengan dua wanita lain.
Dia menggunakan isteri untuk membuat pinjaman bank, kemudian meninggalkan bebanan hutang kepada bekas isteri.
Ketegangan hubungan mereka memuncak apabila Masrol mencadangkan mereka bercerai, dengan alasan tiada persefahaman.
Zarina yang terkejut menerima alasan bekas suami tanpa mengetahui niat sebenar.
Selepas perceraian, selang beberapa bulan dia dikejutkan dengan notis dari pihak bank yang menuntut bayaran semula pinjaman kedua di buat atas namanya.
Saat itu baharulah Zarina sedar yang bekas suaminya itu membuat pinjaman tanpa pengetahuannya.
Kesan daripada tindakan bekas suaminya itu sangat mendalam.
Zarina tidak hanya ditinggalkan dengan hutang yang banyak, tetapi turut dikhianati.
Namun, Zarina bersyukur mendapatkan bantuan guaman dan nasihat kewangan, biarpun terpaksa bekerja kerasa untuk melangsaikan hutang-hutang tersebut.
Kisah Zarina ini seharusnya dijadikan iktibar kepada wanita lain supaya berhati-hati dalam urusan kewangan, terutama yang berkaitan dengan hubungan perkahwinan.
Tambahnya, dia kini meneruskan kehidupan dengan lebih berhati-hati, dan belajar daripada pengalaman.
“Meskipun diuji dengan bekas suami yang mempergunakan diri untuk kepentingan peribadi, saya bersyukur kerana masih mempunyai sesuatu yang sangat berharga iaitu anak-anak.
“Alhamdulilah, anak-anak baik, sihat dan bijak. Mereka sumber kekuatan saya.
“Saya bukan sesiapa untuk memberi nasihat, tetapi setiap wanita perlu tahu kepentingan melindungi diri dalam setiap aspek kehidupan, termasuk kewangan,” ujarnya mengakhir perbualan.
Bagi wanita yang bergelar ibu terutamanya, kepenatan dalam menyelesaikan segala urusan bukanlah perkara sia-sia.
Sebagaimana Firman Allah SWT bermaksud: Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jugalah pahala yang besar. (Al-Anfal:28).










