ANAK-ANAK Generasi Alpha dan Beta mungkin lebih mengenali ayam melalui hidangan di restoran makanan segera berbanding ternakan hidup yang berkeliaran di halaman rumah.
Ayam goreng, ayam panggang dan nuget ayam sudah menjadi sebahagian daripada menu harian. Di pasar raya pula, ayam biasanya kelihatan dalam bentuk daging yang sudah dipotong, dibungkus dan disimpan di dalam peti sejuk.
Bagi mereka yang membesar beberapa dekad dahulu, ayam memiliki wajah berbeza. Ayam berlari di halaman rumah, mengais tanah mencari makanan, bertelur di tempat tersembunyi dan berkokok pada waktu pagi.
Dahulu, kanak-kanak mengejar anak ayam, manakala orang dewasa memelihara ayam untuk mendapatkan telur dan daging. Ada juga yang menjadikan ayam sabung sebagai haiwan pertandingan.
Perbezaan pengalaman ini menarik perhatian saya kepada hakikat bagaimana hubungan manusia dengan haiwan mempengaruhi bahasa yang digunakan.
Apabila ayam menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian, tidak hairanlah masyarakat Melayu mencipta pelbagai peribahasa dan frasa yang menggunakan perkataan “ayam”. Sebahagiannya masih digunakan sehingga hari ini, meskipun tidak semua pengguna bahasa mengenali asal usulnya.
Misalnya, kita biasa mendengar ungkapan kaki ayam, anak ayam, ibu ayam dan bapa ayam. Namun, makna ungkapan ini tidak semestinya berkaitan dengan haiwan yang berjalan menggunakan kaki, menjaga anak atau membiak.
Bahasa mempunyai cara tersendiri untuk membawa perkataan daripada makna asal kepada makna budaya yang lebih luas.
Begitu juga dengan ayam dara, ayam pencen dan ayam kampung yang menunjukkan bagaimana manusia mengelaskan ayam berdasarkan umur, keadaan atau tempat asal.
Dalam penggunaan harian, istilah yang sama boleh membawa maksud berbeza mengikut konteks.
Istilah ayam tambatan ada kedudukan tersendiri. Dalam pertandingan sabung ayam, ayam yang diharapkan membawa kemenangan ada nilai istimewa.
Daripada gambaran itu, lahirlah ungkapan untuk merujuk individu yang menjadi harapan dalam sesuatu pasukan atau organisasi.
Seorang pemain bola sepak yang hebat, misalnya, boleh disebut sebagai ayam tambatan.
Ayam juga dikaitkan dengan kegiatan pertarungan. Ayam sabung, ayam laga dan laga ayam mengingatkan kita kepada amalan yang pernah dikenali dalam pelbagai masyarakat.
Walaupun kegiatan itu tidak diterima atau diamalkan pada masa kini, namun budaya berkenaan tetap dikenang melalui bahasa.
Ada pula ungkapan menggunakan ayam untuk menggambarkan perbuatan manusia.
Ajak-ajak ayam merujuk pelawaan tidak bersungguh-sungguh. Tidur-tidur ayam pula menggambarkan keadaan tidur yang tidak nyenyak.
Hubungan antara ayam dengan pengalaman manusia turut terserlah dalam ungkapan rabun ayam dan cakar ayam.
Bunga tahi ayam memperlihatkan bagaimana hal yang dianggap tidak menyenangkan boleh menjadi inspirasi sewaktu menamakan sesuatu.
Peribahasa carik-carik bulu ayam mengingatkan kita kepada hubungan kekeluargaan yang mungkin mengalami perselisihan tetapi masih mempunyai ikatan.
Bagai ayam kehilangan ibu dan bagai ayam disambar helang menggunakan gambaran yang berbeza untuk menyampaikan keadaan manusia.
Dalam ungkapan pertama, kita membayangkan anak ayam yang kehilangan tempat bergantung.
Dalam ungkapan kedua, gambaran serangan helang membawa kesan kejadian yang mengejutkan dan mendadak.
Ungkapan ayam berak kapur turut memperlihatkan bagaimana keadaan fizikal ayam dijadikan gambaran bagi keadaan seseorang yang tidak sihat atau tidak bermaya.
Sementara itu, hangat-hangat tahi ayam menggunakan gambaran bahan buangan yang cepat kehilangan haba untuk mengkritik semangat yang tidak bertahan lama.
Peribahasa ini masih sesuai digunakan apabila seseorang bersemangat memulakan sesuatu pekerjaan tetapi tidak meneruskannya.
Kalau diperhatikan, ayam sering muncul dalam ungkapan yang mengingatkan kita tentang tindakan manusia. Ayam menang kampung tergadai menggambarkan kemenangan yang membawa kerugian lebih besar.
Peribahasa ayam terlepas, tangan bau tahi pula memperlihatkan keadaan apabila sesuatu yang dikejar tidak diperoleh, sedangkan usaha itu meninggalkan kesan yang tidak menyenangkan.
Ayam putih terbang siang dan ayam hitam terbang malam turut memperlihatkan bagaimana warna dan waktu digunakan untuk membina ungkapan.
Peribahasa pertama merujuk perbuatan yang jelas dapat dilihat orang manakala yang kedua pula perbuatan dilakukan secara licik dan tersembunyi.
Begitu juga dengan menerka ayam di dalam telur yang mengingatkan kita tentang kesukaran mengetahui sesuatu yang belum menampakkan bentuk atau keadaannya dengan jelas.
Selain ayam kampung, terdapat juga ayam hutan, ayam denak, ayam serama dan ayam katik. Kepelbagaian nama ini memperlihatkan bagaimana perkataan “ayam” tidak merujuk kepada satu jenis haiwan sahaja. Sebaliknya merangkumi pelbagai jenis, ciri dan hubungan manusia dengan haiwan tersebut.
Persoalannya, apa yang akan berlaku kepada ungkapan-ungkapan ini apabila generasi baharu semakin jarang melihat ayam hidup? Adakah frasa tidur-tidur ayam masih mudah difahami oleh kanak-kanak yang tidak pernah melihat ayam tidur? Adakah ayam tambatan akan terus digunakan apabila pengalaman masyarakat terhadap ayam sabung semakin jauh?
KEKAL DALAM BAHASA
Bahasa tidak semestinya lenyap apabila pengalaman yang melahirkannya semakin berkurangan. Banyak ungkapan dapat bertahan melalui buku, perbualan, pendidikan dan penggunaan dalam media.
Namun, pemahaman terhadap latar budaya di sebalik ungkapan itu mungkin semakin menipis.
Kita tidak perlu kembali membela ayam di halaman rumah semata-mata untuk mengekalkan peribahasa. Sebaliknya, kita perlu memastikan generasi baharu mengenali makna perkataan, memahami gambaran yang terkandung di dalamnya dan mengetahui hubungan ungkapan tersebut dengan kehidupan masyarakat terdahulu.
Ayam mungkin semakin jarang kelihatan di halaman rumah. Namun, ayam masih hidup dalam bahasa kita. Setiap kali kita menyebut hangat-hangat tahi ayam, ayam tambatan atau carik-carik bulu ayam, kita sebenarnya sedang menggunakan sebahagian daripada pengalaman masyarakat yang pernah hidup begitu dekat dengan haiwan tersebut.
Ayam di halaman rumah mungkin semakin tiada tetapi ayam dalam bahasa pula masih berkokok, sekurang-kurangnya selagi kita terus menggunakannya dan mewariskan ungkapan itu kepada generasi seterusnya. –UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).











