WAZE ialah antara sistem aplikasi pandu arah yang paling banyak digunakan di negara kita. Ia bukan sahaja menjadi penunjuk arah ke tempat-tempat baharu tetapi juga digunakan secara harian termasuk ketika ke tempat kerja atau pulang ke rumah dari pejabat.
Lantas, ramai terkejut apabila kerajaan mengumumkan larangan penggunaan Waze bagi penjawat awam. Sepantas kilat, menjadi tajuk perbincangan hangat dalam kalangan rakyat di seluruh negara.
Sudah tentu ada pihak yang bukan setakat tidak berpuas hati, malah membantah larangan ini.
Bagi penggunanya, Waze bukan sekadar pemandu arah tetapi perancang perjalanan yang memberi laluan terbaik selain boleh melaporkan kejadian dan masalah di jalan raya, serta banyak lagi ciri-ciri membantu meningkatkan mutu perjalanan orang ramai.
Justeru, apabila kerajaan mencadangkan aplikasi TuJu bagi menggantikan Waze, isu ini menjadi semakin panas apabila pelbagai masalah timbul ketika menggunakan aplikasi baharu itu.
Ramai meluahkan rasa kecewa dan marah di samping mempertikaikan kewajaran keputusan kerajaan melarang penggunaan Waze dan mempersoalkan kemampuan TuJu yang mengalami pelbagai masalah berkaitan kebolehgunaannya.
Hal ini menggambarkan betapa besarnya tahap ketergantungan rakyat Malaysia kepada sistem aplikasi ini, sehinggakan menjadikannya seakan-akan keperluan utama ketika memandu.
Secara sedar atau tidak, sikap terlalu bergantung kepada penggunaan sistem punyaan syarikat luar ini sangat besar risiko dan boleh mengundang kesan buruk, termasuk kepada kedaulatan mahupun keselamatan negara.
Persoalan tentang kedaulatan digital sesebuah negara merupakan satu hal yang sangat menarik untuk dibincangkan. Walaupun kita menggunakan pelbagai aplikasi digital asing setiap hari, namun tidak ramai yang mengambil maklum hal ini.
Kalau dahulu apabila menyentuh soal menjaga keselamatan dan kedaulatan negara, kita lazimnya merujuk perihal pencerobohan secara fizikal. Namun dalam dunia hari ini, soal kedaulatan negara turut merangkumi aspek digital dan maya.
Tiada masalah untuk menggunakan aplikasi digital dari luar negara. Namun, kita perlu sedar dari sudut perundangan, negara tidak mempunyai kawalan langsung terhadap sistem tersebut. Oleh itu, aspek keselamatan perlu diteliti dengan rapi bagi memastikan maklumat sulit, khususnya yang melibatkan kepentingan negara, tidak terdedah kepada risiko pencerobohan.
Isu Waze sepatutnya menjadi penimbul kesedaran kepada seluruh masyarakat tentang betapa pentingnya kedaulatan digital negara. Malaysia ialah negara yang maju dalam bidang teknologi digital, namun ironinya kita masih memilih untuk bergantung kepada kemudahan digital dari luar.
Semalam, saya baru sahaja pulang daripada China selepas lawatan selama seminggu sempena Persidangan Pempopularan Sains Sci2U 2026, yang diadakan di Ningbo, Zhejiang dari 25 hingga 29 Oktober 2026.
Meskipun saya hanya dijemput sebagai penceramah dan pemudah cara terutamanya untuk sesi Mesyuarat Serantau RCE ke-17 yang diadakan serentak dengan persidangan tersebut, saya mengambil kesempatan untuk memanfaatkan sepenuhnya lawatan dengan memerhati dan mengkaji keadaan masyarakat negara lain.
China merupakan satu contoh yang menarik untuk diperhatikan kerana merupakan negara yang pernah mengasingkan diri dari dunia luar, malah sehingga hari ini masih banyak mengasingkan diri daripada teknologi luar. Namun begitu, ia langsung tidak mengasingkan diri daripada kecanggihan sains dan teknologi.
Ketika rakan, Zhao Yiran yang merupakan Penyelaras Belia RCE di Hangzhou membawa saya untuk melihat sekitar Ningbo pada salah satu malam, antara perkara yang saya perasan ialah pemandu kami menggunakan aplikasi pandu arah yang sangat berbeza.
Kerajaan China mengharamkan penggunaan banyak aplikasi luar, maka Waze dan Google Maps sama sekali tidak boleh digunakan di sana. Sebaliknya, negara itu membangunkan aplikasi sendiri, antaranya Gaode Ditu.
Menarik sekali, keperluan membangunkan aplikasi sendiri tidak membawa masalah kebolehgunaan akibat aplikasi yang tidak lengkap. Sebaliknya, dijadikan peluang untuk membangunkan aplikasi lebih baik daripada yang tersedia di luar.
Meskipun sebagai seorang penumpang, saya dapat perhatikan pelbagai ciri kemudahan yang sangat bagus pada Gaode Ditu, berbanding Waze. Aplikasi pula kelihatan begitu kemas, rapi dan mudah digunakan.
Begitu juga dengan banyak perkara lain seperti prasarana kewangan digital mereka. Bukan sahaja saya boleh menggunakan e-dompet TNG di sana melalui rangkaian Alipay+, tetapi sistemnya ternyata lebih canggih berbanding di Malaysia dan memerlukan kurang langkah untuk pembayaran meskipun saya berkelana dari jauh dan menggunakan aplikasi dari Malaysia.
Malah, rakan-rakan di sana seperti Yiran lebih menggemarkan aplikasi tempatan, bukan sahaja kerana capaiannya tetapi juga kerana ciri-cirinya yang kadangkala lebih lengkap berbanding aplikasi luar.
Kemudahan ini bukan sahaja tidak bergantung kepada pembangunan teknologi luar tetapi banyak juga yang tidak wujud pun di negara lain.
Kerajaan dan pembangun aplikasi di China menjadikan pengasingan mereka daripada dunia luar sebagai peluang untuk membangun sebuah asas yang lebih kukur bagi masyarakat sendiri.
Maka, apabila mereka membuka pintu ke dunia luar, mereka benar-benar boleh menjadi bebas dan merdeka lagi berdaulat secara teknologi, malah juga turut menerajui pembangunan di luar.
Berbalik kepada isu Waze, aplikasi pandu arah merupakan satu isu yang sangat kecil, namun satu pengajaran yang begitu besar bagi kita. Jika masalah sekecil memandu pulang ke rumah setiap hari pun sudah menjadi kekecohan, apakah nasib kita jika dunia luar menyekat kita daripada capaian kemudahan teknologi mereka, nauzubillah.
Kita tidak harus selama-lamanya menjadi pengguna yang hanya bergantung kepada orang lain. Jangan juga salahkan usaha untuk memartabatkan kedaulatan digital, hanya kerana persediaan kita belum lengkap buat masa kini.
Isu Waze dan TuJu yang kita dengar baru-baru ini hanya menjadi petanda dan peringatan supaya mempunyai mentaliti untuk menjadi peneraju dan pembangun yang berkemampuan untuk bersaing dengan kemajuan luar. –UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










