JERANTUT: Penduduk di pesisir Sungai Tembeling di sini terpaksa berbelanja sehingga RM5,000 untuk menyediakan tong bagi mengapungkan rumah dan tempat penyimpanan barang sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.
Penduduk Kampung Pagi di Ulu Tembeling, Muhammad Aslam Mi Hamidi, 35, berkata setiap kali musim tengkujuh, penduduk yang tinggal di pesisir sungai perlu mengeluarkan belanja antara RM2,000 hingga RM5,000 untuk memasang tong di bawah lantai rumah.
“Kami membuat persediaan awal kerana banjir boleh berlaku pada bila-bila masa memandangkan Monsun Timur Laut (MTL) bermula dan hujan lebat berterusan di kawasan hulu Sungai Tembeling.
“Barang perniagaan termasuk peralatan penting dipindahkan ke tempat simpanan yang siap dipasang tong, manakala kami sekeluarga akan berpindah ke kediaman di kawasan tinggi sekiranya berlaku banjir,” katanya.
Penduduk, terutama pengusaha kedai kopi dan kedai runcit di pesisir sungai, terpaksa menanggung kos tinggi bagi melindungi harta benda daripada ditenggelami banjir.
Pengusaha kedai runcit, Abd. Razak Ahmad, 70, membelanjakan hampir RM1,500 untuk menggantikan tong yang rosak dan bocor bagi mengapungkan tempat penyimpanan barang perniagaannya.
“Tempat penyimpanan barang dan rumah sementara sudah dipasang 50 tong sebelum ini. Saya cuma menggantikan peralatan rosak, termasuk memasang lantai baharu untuk mengikat tong,” katanya.
Kebanyakan penduduk membina kedai kopi dan kedai runcit di pesisir Sungai Tembeling kerana kawasan itu menjadi tumpuan penduduk membeli barangan keperluan serta tempat persinggahan bot penambang yang membawa pelancong di jeti berhampiran. – UTUSAN











