11 kelab kena bersih nama Malaysia

11 kelab kena bersih nama Malaysia

Ab Ghani Hassan (empat dari kiri) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian penajaan antara Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communication, Wing K. Lee dengan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kelab Liga Malaysia (Liga M) yang dikenakan sekatan perpindahan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) perlu mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan hutang dengan bekas pemain masing-masing.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, perkara berkenaan perlu dipandang serius bagi mengelak gambaran tidak baik secara berterusan berlaku kepada bola sepak negara.

Ab Ghani yang juga merupakan Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berkata, di peringkat MFL sebelum ini, pelbagai peringatan telah dikeluarkan termasuk apabila berlaku tunggakan gaji sehingga dua bulan

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebenarnya, kita dah banyak kali dalam MFL pun sudah beritahu, gaji tak bayar dua bulan, kita ‘follow up’. Tetapi, perkara ni menyebabkan melibatkan kewangan dan kita pun tak tahu apa masalah kewangan dia (kelab terlibat), bagaimana dia merancang.

“Tetapi bila benda-benda macam ini berlaku, disekat perpindahan pemain, pendaftaran pemain ini, 11 kelab kan yang terlibat. Jadi satu gambaran tidak baik kepada bola sepak negaralah.

“Jadi semua 11 kelab terlibat kena bertanggungjawab, disebabkan satu dua kelab, maka seolah-olah bola sepak negara ni macam teruk sangat. Tapi sebenarnya ada masalah yang berlaku di negara lain, tetapi masing-masing kena ada ambil tanggungjawab.

“FAM dan MFL pun tak boleh nak buat apa dah pasal tu melibatkan kewangan dia (kelab). Tetapi yang kesiannya dekat pemainlah, gaji tak dibayar, dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan YTL Group & FAM, semalam.

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia merekodkan jumlah tertinggi kes sekatan pendaftaran pemain oleh FIFA dalam kalangan negara ASEAN apabila 11 kelab tempatan terpalit dengan keseluruhan 33 kes.

Semakan dalam laman rasmi FIFA menunjukkan Kelantan Red Warrior (KRW) FC merekodkan jumlah tertinggi dengan sembilan kes, diikuti Kedah Darul Aman (KDA) FC yang mencatat enam kes dan Kelantan The Real Warriors (TRW) dengan empat kes.

Sementara itu, Kelantan FC dan PDRM FC masing-masing merekodkan tiga kes manakala Perlis FA dan Gombak FC mempunyai dua kes setiap satu.

Dalam pada itu, Perak FC, Terengganu FC, Kuala Lumpur (KL) City dan PT Athletic FC pula masing-masing mencatat satu kes, menjadikan keseluruhan 11 kelab Malaysia yang tersenarai dalam sekatan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini