Sungai Kim Kim: JAS Johor siasat dakwaan berlaku pencemaran - Utusan Malaysia

Sungai Kim Kim: JAS Johor siasat dakwaan berlaku pencemaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku pencemaran di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang menyaksikan airnya bertukar warna putih, baru-baru ini.

Pengarah JAS Johor, Dr. Mohd. Famey Yusoff, bagaimanapun berkata, keadaan air telah kembali pulih kepada warna asal ketika pegawainya hadir ke lokasi bagi mengambil sampel air berkenaan, semalam.

“Apabila tiba di lokasi, didapati air sungai berkenaan tidak lagi berwarna putih. Kemungkinan kejadian pembuangan apa-apa bahan ke dalam sungai itu berlaku sekali sahaja.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun, kita akan jalankan siasatan termasuk bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti pihak bertanggungjawab,” katanya ketika diminta mengulas tentang dakwaan berlaku pencemaran di sungai berkenaan, di sini.

Tambah beliau, tindakan tegas akan diambil terhadap sekiranya terdapat bukti mana-mana pihak telah melakukan pencemaran mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar mendakwa berlaku pencemaran melibatkan Sungai Kim Kim, Pasir Gudang sehinggalah mengakibatkan pencemaran bau di kawasan sekitar.

Pada Mac 2019, insiden pencemaran Sungai Kim Kim menggemparkan negara apabila menjejaskan kesihatan lebih daripada 2,000 penduduk sehingga menyebabkan 111 buah sekolah di Pasir Gudang ditutup.

Sementara itu, pada 9 September lalu, Mahkamah Tinggi Sivil di sini memutuskan seramai 171 mangsa pencemaran Sungai Kim Kim menang dalam saman sivil terhadap empat defendan iaitu sebuah kilang memproses tayar terpakai, P Tech Resources Sdn Bhd; dua pengarah syarikat yang juga warga Singapura, Wang Jing Chao, 41, dan Yap Yoke Liang, 43, serta seorang pemandu lori, N. Maridass, 42.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini