Sultan Selangor ingatkan peranan ulama, kepemimpinan harus saling menguatkan

Sultan Selangor ingatkan peranan ulama, pemimpin harus saling menguatkan

Ulama pemimpin
SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan titah perasmian pada Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj: Legasi Kesultanan Selangor Dalam Memperkasa Islam di Alam Melayu di Shah Alam, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, ulama dan pemimpin seharusnya saling menguatkan antara satu sama lain walaupun mempunyai peranan yang berbeza.

Menurut baginda, peranan raja memberi naungan dan dukungan kepada institusi, manakala ulama pula berani menyampaikan nasihat dengan benar dan bebas daripada kepentingan yang mencemarkan martabat ilmu.

”Dalam konteks ini, beta berpandangan bahawa ulama dan umara mempunyai peranan yang berbeza, namun saling menguatkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hubungan yang baik bukanlah hubungan yang menutup ruang teguran, tetapi memelihara adab, menghormati bidang kuasa dan mendahulukan kepentingan ummah,” titah baginda pada Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj: Legasi Kesultanan Selangor Dalam Memperkasa Islam di Alam Melayu.

Malah, baginda menjelaskan legasi Kesultanan Selangor dalam memperkasakan Islam dilihat menerusi tiga teras utama iaitu kesinambungan pemerintahan dan usaha memartabatkan islam serta dukungan sistem pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu.

Sementara teras ketiga adalah pembinaan institut yang menterjemahkan hukum syarak kepada dasar, fatwa dan perkhidmatan untuk rakyat.

“Ketiga-tiga teras ini hendaklah diperkukuh secara bijaksana melalui pendekatan yang sesuai dengan tuntutan zaman.

“Beta sebagai penyambung kepada legasi Kesultanan Selangor terdahulu, akan memastikan ia terus dipelihara dengan memberikan perhatian kepada pengukuhan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, kewibawaan fatwa, pentadbiran Islam, pendidikan dan pengembangan ilmu,” ujar baginda.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut mengingatkan kepada para ilmuan supaya tidak mudah terpengaruh dengan cebisan-cebisan maklumat tanpa usul periksa atau merujuk kepada sumber yang berautoriti.

“Janganlah sekadar bergantung kepada cebisan maklumat daripada video-video pendek yang belum tentu sahih dan lengkap, sebaliknya rujuklah kepada sumber yang berautoriti dan bergurulah dengan para ilmuwan yang diiktiraf.

“Kepada seluruh rakyat beta, peliharalah perpaduan serta hormatilah institusi yang diamanahkan mengurus hal ehwal Islam. Telitilah sejarah dengan jujur, bahaskanlah perbezaan dengan adab dan kemukakanlah cadangan yang berpijak kepada realiti,” nasihat baginda.

Terdahulu pada majlis tersebut, baginda turut berkenan menyempurnakan pelancaran Buku Sheikhul Islam dan Mufti-Mufti Selangor (1930 hingga 2021), Buku Kompilasi Artikel Fatwa Tahun 2001 – 2005 (Jilid 1) dan Sistem e-Fatwa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini